Categories
NASIONAL

Isu Pasang Bendera: MDKL Akan Ambil Tindakan

KUALA LANGAT 25 APR : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan mengenakan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menaikkan bendera parti di kawasan awam di luar waktu yang dibenarkan.

Dalam Mesyuarat Ahli Majlis pagi tadi, Pemangku Yang Di Pertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari bagaimanapun berkata, memandangkan bendera-bendera tersebut dipasang bukan diwaktu kempen pilihanraya akan menjadi suatu kesalahan dibawah undang-undang PBT.

“Kita akan berbincang lebih lanjut dan akan memperhalusi setiap jumlah cadangan yang dirasakan sesuai dikenakan terhadap pesalah.

“Apapun, kita akan terlebih dahulu meminta wakil pihak parti politik yang berkenaan untuk menurunkan bendera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasa,” jelas Hafiz.

Buat masa sekarang, pihak MDKL hanya menurut garis panduan yang diberi oleh Kerajaan Negeri berkenaan isu bendera ini.

“Seperti yang dipersetujui Majlis Mesyuarat Exco Negeri, bendera hanya boleh dipasang 2 hari sebelum dan selepas sesuatu program parti politik.

“Jadi, sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat tidak seharusnya bertentangan dengan keputusan Kerajaan Negeri,” ujar Hafiz sambil memberitahu tindakan MDKL terhadap pesalah ketika ini adalah menyimpan sebarang bendera yang dirampas.

Ketika diminta mengulas pemasangan bendera di kawasan kedai atau rumah persendirian, beliau menjelaskan perkara tersebut di luar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita hanya boleh mengambil tindakan untuk kawasan awam, bagi kawasan persendirian mereka berhak untuk meletakkan bendera apa sahaja mengikut kemahuan mereka,” kata Hafiz.

Leave a Reply

Your email address will not be published.