Categories
SELANGOR

Lebuhraya SUKE:Abdul Khalid Atur Dialog Penduduk

BANDAR TUN RAZAK, 7 APR: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini bersetuju untuk memanggil pihak-pihak terbabit dalam pembinaan Lebuhraya Sungai Besi dan Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) bagi menyelesaikan masalah penduduk di lapan buah taman yang bakal terjejas.

Pertemuan yang dijangka akan diadakan sebelum bulan Mei ini akan membabitkan persatuan-persatuan penduduk,Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), wakil kerajaan pusat, Kerajaan Negeri Selangor dan Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

“Sekarang apa yang dapat kita lakukan ialah saya akan memanggil pihak-pihak yang terlibat agar dapat berikan penerangan kepada penduduk yang terjejas.

“Selepas itu kita akan tanya pilihan yang mereka ada selain plan yang sedia ada.

“Sebab mungkin mereka ada plan alternatif, jadi kita perlu tengok apa rancangan mereka untuk menyelesaikan masalah ini, adakah boleh diterima.

“Apa yang dapat saya katakan kepada penduduk, pada masa ini saya masih belum tandatangani kelulusan untuk mereka menjalankan kerja di atas tanah yang terlibat,” ujar beliau ketika bertemu penduduk di lapan taman perumahan terbabit yang bakal terjejas dengan pembinaan lebuhraya SUKE.

Menurut Pengerusi Sementara Persatuan Penduduk Bandar Rina 2, Colin Stuart berkata, lebuh raya yang bakal dibina akan menyebabkan kawasan kediaman mereka  tidak lagi tenang seperti sebelumnya.

“Kalau masalah ini tak diselesaikan, bila dah siap nanti, kami buka sahaja tingkap atau pintu terus pandang lebuh raya atau silap haribulan boleh pegang penghadang lebuh raya.

“Jadi kami berharap agar perbincangan ini dapat dijalankan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 700 keluarga bakal terjejas dengan projek ini. Rata-rata pembeli di sini berhasrat menjadikan tempat ini sebagai kediaman tetap apabil bersara nanti.

Lapan kawasan yang terjejas itu adalah Taman Lang Seng, Taman Bukit Cheras, Alam Damai, Alam Damai 2, Bukit Rina 1, Bukit Rina 2, Taman Orkid Desa dan Bukit Prima.

Selain taman-taman perumahan terbabit, dua buah sekolah, hutan simpan dan sekurang-kurangnya sebuah rumah ibadat dikatakan akan turut terjejas dengan pembinaan lebuh raya tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.