Categories
NASIONAL

Negara Islam Maju Impian PM Bertentangan Amalan Rasuah BN

SHAH ALAM, 9 APRIL : Impian Datuk Seri Najib Razak ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam pertama di dunia mencapai status negara maju disifatkan sebagai kenyataan politik yang bertentangan dengan amalan kepimpinan negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata impiannya itu sangat bertentangan dengan amalan kepimpinan rasuah dan penyelewengan yang dibawa oleh Umno-BN.

“Sudah 12 kali pilihanraya atau sudah 54 tahun memerintah negara, baru kali ini mereka (Umno) baru bercadang untuk tujuan ini?.

“Pada saya, ia hanya sekadar ungkapan politik bagi menarik sokongan Melayu (Islam) untuk terus bersama dengan Umno-BN,”jelas Tuan Ibrahim.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, selaku Perdana Menteri, najib perlu sedar bahawa negara Islam seperi Malaysia tidak sewajarnya mempunyai kaitan dengan Israel.

Malangnya, kerajaan hari ini pernah dikaitkan dengan penasihat komunikasi, Apco Worldwide yang didakwa menghasilkan konsep One Israel dan 1Malaysia yang diguna pakai hari ini.

Malaysia juga didakwa mempunyai hubungan dangang dengan negara Zionis itu apabila kelibat kapal dagang Israel dilihat berlabuh di Pelabuhan Klang.

Mengulas berkenaan dengan dakwaan Najib bahawa kerajaan sekarang mengamalkan konsep Wasatiyah, Tuan Ibrahim membidas kerana Wasatiah bukan sekadar satu konsep kesederhanaan dalam sesuatu perkara sahaja, sebaliknya Wasatiyah juga merangkumi semua amalan kehidupan yang bertepatan dengan suruhan Allah dan Rasul.

“Perkara ini bukan suatu yang baru dalam Islam, ia telah lama wujud dalam tamadun Islam.

“Apa yang diamalkan kerajaan hari ini jauh bertentangan dengan konsep Wasatiyah di dalam Al-quran,”ujarnya ketika dihubungi Media Selangor.

Tambahnya, konsep Islam Wasatiyah yang dibawa oleh kepimpinan Najib hari ini tidak ubah seperti konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Adakah rakyat teleh lupa pada gagasan Islam Hadhari kononnya dikatakan sebagai gagasan terbaik dan beberapa negara Islam yang lain mengambil Malaysia sebagai contoh, tetapi adalah malang apabila gagasan itu hilang entah kemana,”soal beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.