Categories
NASIONAL

Peguam: Polis Bertindak di Luar Kawasan Larangan

SHAH ALAM, 30 APRIL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memandang serius tuntutan yang dikemukakan Bersih 3.0 memandangkan kehadiran rakyat Malaysia yang menuntut perubahan terhadap sistem pilihanraya diluar jangkaan.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, kehadiran ramai penyokong pada himpunan Sabtu lalu dilihat sebagai satu anjakan positif memandangkan rakyat berbilang kaum bersatu bagi menyatakan bantahan dan menuntut perubahan sistem pilihanraya yang lebih baik.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Srenevasan dianggarkan 250,000 orang yang hadir dalam himpunan tersebut.

“Kehadiran begitu ramai, mungkin kawalan tidak cukup memandangkan ada yang terlibat dalam rusuhan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah, sepatutnya pihak keselamatan tidak membuat sebarang tangkapan terhadap hadirin yang berada di luar kawasan larangan dan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini.

“Isunya adalah mengapakah pihak polis membuat tangkapan diluar kawasan larangan. Jadi perlu diadakan satu siasatan adakah provokasi daripada pihak demonstrat. Semua pihak yang terlibat seharusnya diambil tindakan,” katanya.

Sebelum itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan arahan Dataran Merdeka tidak boleh digunakan untuk himpunan Bersih berdasarkan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan.

Berhubung sekatan terhadap petugas media katanya, sepatutnya pihak media tidak perlu dihalang ketika menjalankan tugas dan siasatan juga perlu dilakukan.

Bersih 3.0 menyaksikan beberapa petugas media cedera dan peralatan mereka dirampas oleh pihak berkuasa. Antara petugas yang terlibat adalah wartawan-jurufoto Malaysiakini Koh Jun Lin dan wartawan The Sun, Radzi Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.