Categories
SELANGOR

Tanah Berdekatan UKRC Tetap Milik Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 12 APR : Hakmilik tanah seluas 5.27ekar di mukim Hulu Kelang yang turut menempatkan Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) disahkan sebagai milik tetap rakyat Selangor.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas berpuashati terhadap syor-syor yang dibuat oleh jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan negeri.

Menurut Abdul Khalid, tanah tersebut menjadi pertikaian apabila UKRC tidak membenarkan orang ramai menggunakan kawasan lapang di situ bagi tujuan riadah.

Berdasarkan kepada syor-syor tersebut, kerajaan negeri berharap penduduk setempat menerima keputusan itu dengan terbuka kerana siasatan dilakukan dengan telus dan adil berdasarkan kepada peraturan dan bukti-bukti yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan.

“Jawatankuasa siasatan berpendapat bahawa tanah tersebut diwartakan sebagai tanah lapang pada 19 Oktober 2004 sekaligus menjadi bukti tambahan bahawa tanah tersebut tidak pernah dikeluarkan hakmilik kepada UKRC atau mana-mana pihak.

“Namun begitu, jawatankuasa mengesyorkan UKRC diberi hakmilik kepada tapak bangunan kerana ia memberi faedah kepada ahli kelab tersebut dan dibina menggunakan dana orang awam serta ahli-ahlinya,” katanya.

Jawatankuasa siasatan berkenaan dianggotai Orang Besar Daerah Gombak, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh, Leong Khai Yan (peguam), bekas Pegawai Daerah Gombak, Abdul Rahim Salleh dan Dr Jagjit Singh dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Jawatankuasa tersebut bertindak membuat kajian awal dengan mengadakan pendengaran awam dan mengemukakan penemuan serta syor kepada pentadbiran negeri untuk tindakan selanjutnya.

Antara yang dipanggil memberi keterangan termasuklah ahli UKRC, pegawai kerajaan khususnya dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan orang awam.

Abdul Khalid berkata, jawatankuasa juga mengesyorkan UKRC untuk membayar premium mengikut kadar semasa termasuk tanah dan bangunan memandangkan mereka telah menggunakan premis tersebut tanpa membayar sewa atau cukai pintu kepada kerajaan negeri sejak tahun 1950-an.

Bagaimanapun sebagai alternatif untuk mengutamakan kepentingan orang ramai, kerajaan negeri akan membina dewan baru menggunakan premium yang dibayar UKRC bagi kegunaan penduduk setempat yang bukan ahli kelab tersebut.

“Dalam satu laporan yang diserahkan kepada kerajaan negeri pada 15 Mac lalu, jawatankuasa walaupun UKRC ada membuat permohonan untuk mendapat hakmilik terhadap tanah lapang tersebut kepada pemungut Hasil Tanah Kuala Lumpur pada 14 Februari 1958, tetapi tanah itu hanya diluluskan sebagai tanah lapang untuk Dewan Kelab Masyarakat (Club Community Hall) pada 12 Julai 1958.

“Jawatankuasa juga diberitahu bahawa nama asal UKRC ini ialah Dewan Masyarakat dan Kelab Rekreasi Kuala Ampang sebelum menukar nama kepada UKRC untuk diwartakan pada 6 November 2001 dan menggugurkan nama Dewan Masyarakat.

“Sejak itu, UKRCĀ  mengenakan bayaran masuk dan yuran keahlian. UKRC juga tidak lagi membenarkan orang awam menggunakan premis tersebut tanpa kebenaran khas daripada pihak pengurusannya,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.