Categories
NASIONAL

Dakwaan Adun Sekinchan Berfakta, Noh Digesa Tarik Balik Saman

SHAH ALAM, 3 MEI : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa menarik balik saman yang dikemukakan terhadap Adun Sekinchan berjumlah RM10 juta berhubung skim insentif hasil padi yang tertunggak seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Menurut Peguam, M Manoharan yang mewakili Ng Suee Lim berkata, fakta pembelaan yang difailkan kepada anak guamnya secara jelas menyenaraikan fakta-fakta yang menyanggah tuntutan saman tersebut secara bermerit.

“Dalam pembelaan ini saya menegaskan, plantif tidak layak untuk menjadi ahli politik, wakil rakyat dan khususnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Manoharan berkata, kenyataan pembelaan itu  difailkan pada 24 April lepas dan pengurusan kes hari ini yang dihadiri memberikan masa kepada pihak plaintif untuk menjawab segala fakta pembelaan yang dikemukakan pada satu tarikh masa yang akan ditetapkan kemudian.

“Kita memfailkan pembelaan apa yang dikatakan oleh YB Ng Suee Lim adalah benar dan bukan sesuatu yang diada-adakan, beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri mempunyai hak untuk menyuarakan perkara-perkara yang berkepentingan awam berkenaan dengan rakyat.

“Beliau juga mempunyai perlindungan bersyarat (qualified privilege) sebagai seorang Adun dan komen-komen yang dikeluarkan oleh YB Ng Suee Lim adalah sangat berpatutan (Fair Comment).

Manoharan juga berkata, beliau membuat permohonan untuk jaminan kos di bawah Aturan 23, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980) dan akan memohon untuk membatalkan tuntutan plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KMT 1980.

“Kita akan lawan Noh Omar dalam kes ini kerana kita mempunyai pembelaan yang bermerit dan kita yakin untuk menang dalam kes ini, kita harap sebelum kita berlawan bermati-matian diharap ditarik balik kes ini,” tegas beliau.

Sementara itu Suee Lim berkata beliau bersedia bila-bila masa bagi mempertahankan dakwaan yang dikemukakan sebelum ini dalam usaha membela hak dan kebajikan para petani dan pesawah.

Ng Suee juga hairan mengapa Noh tidak menyaman akhbar Sinchew Jit Poh, Guang Ming dan China Oriental yang menyiarkan isu yang sama.

Beliau juga tidak serik dengan tindakan saman oleh Noh, ini kerana dalam tempoh tidak sampai sebulan, ramai para petani yang sudah menerima imbuhan insentif hasil padi secara berperingkat hasil pendedahannya.

Turut hadir sama kira-kira 30 petani dari Sekinchan yang berbaju hitam dengan lilit lengan kuning yang menyatakan solidariti dalam mempertahankan perjuangan Ng Suee Lim membela nasib petani dan pesawah.

Selain Kerajaan Negeri Selangor, Noh turut menamakan enam orang dari sidang pengarang akhbar rasmi negeri Selangor itu sebagai defendan.

Noh, yang memfailkan saman melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, menuntut ganti rugi berjumlah RM20 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, anggota Parlimen Tanjong Karang itu mendakwa Selangor Kini menyiarkan dua artikel berunsur fitnah dalam edisi bertarikh 25 November hingga 2 Disember 2011.

Noh mendakwa dua artikel itu bertajuk “Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan” dan “Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.