Categories
NASIONAL SELANGOR

Dana Khas Bantu GLC Selangor Laksana Gaji Minima


SUBANG JAYA 12 MEI : Kerajaan negeri memperuntukkan dana khas untuk membantu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Selangor bagi menjayakan misi Kerajaan Pakatan menyelaraskan gaji minima sebanyak RM 1,500 ke atas semua kakitangannya.

Dana tersebut menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberikan sebagai usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam menterjemahkan hasrat dan janji yang dibuat sebelum ini.

“Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang terbatas namun kita masih menjalankan usaha untuk syarikat-syarikat GLC bagi merealisasikan hasrat gaji minima RM 1,500.

“Maka kita sediakan dana sebanyak RM5 juta hingga RM10 juta di bawah Geran Selangorku khusus bagi membantu syarikat-syarikat GLC yang tidak berkemampuan untuk memberi latihan kepada pekerja agar kesemua kakitangan layak menerima gaji RM 1,500.

“Sebagai contoh, kita boleh melatih seorang pekerja am atau pencuci pejabat untuk membuat kerja lain seperti ‘filing’ dan menjawab telefon bagi membolehkannya meningkatkan kemahiran diri seterusnya layak menerima gaji minima seperti yang digariskan,” jelas Abdul Khalid sewaktu sidang media pagi tadi ketika merasmikan kejohanan futsal industri piala Datuk Menteri Besar Selangor 2012 di sini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kesemua syarikat GLC sudah melaksanakan dasar tersebut dan kerajaan negeri sentiasa memantau perlaksanaannya dari semasa ke semasa.

Menurut beliau lagi, seharusnya penyelarasan gaji minimum dilakukan melalui perbincangan ‘wage counsel’ yang diadakan setiap tahun atau dua tahun sekali bagi memutuskan gaji minima yang sesuai.

“Gaji minimum mestilah diputuskan hasil perbincangan antara kerajaan, kesatuan pekerja dan juga majikan dengan mengambil kira soal keuntungan dan inflasi pada masa tersebut.

“Atas prinsip itu juga, maka Pakatan Rakyat (PR) akan menganjurkan Majlis Himpunan Pekerja pada 13 Mei ini bagi membincangkan tawaran PR untuk menjelaskan mengenai dasar gaji minima yang ditawarkan,” ujar Abdul Khalid sambil menyeru semua hadir mendengar tawaran PR pada Ahad ini di Stadium Melawati Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.