Categories
SELANGOR

Dr Ahmad Yunos: Kerajaan Negeri Tidak Sekat Minat Belia

SHAH ALAM, 26 MEI : Kerajaan Negeri Selangor tidak menyekat golongon belia di negeri ini untuk memenuhi minat masing-masing dengan merencanakan pelbagai program khusus selagi mematuhi syarat yang disediakan.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong minat belia selaras dengan perkembangan dunia semasa.

“Golongan belia merupakan aset dan penentu masa depan negara dan kerajaan negeri mengambil beberapa langkah demi mengelakkan golongan belia terlibat dengan gejala negatif,” katanya ketika ditemui meninjau perjalanan program Himpunan dan Konvensyen Belia Selangor 2012 di Kompleks Belia dan Sukan Selangor malam tadi.

Menurutnya, program yang bermula semalam hingga hari ini menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya persembahan muzik, mendeklamasi sajak, kugiran serta teater jalanan selain penjualan makanan dan pakaian.

Himpunan ini dijangka menarik penyertaan belia dan beliawanis, pengerusi dan ahli jawatankuasa Penggerak Belia Tempatan (PeBT), belia dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia serta kalangan mahasiswa khususnya di Selangor.

Katanya, pihaknya menganggarkan seramai kira-kira 2,500 orang belia dan beliawanis dari seluruh Selangor akan menghadirkan diri dalam program tersebut.

Dengan dengan tema ?Anak Muda Penentu Kepimpinan dan Pemacu Pembangunan Selangor dan Negara?, pelbagai acara menarik di sediakan antaranya sesi forum dan konvensyen turut dijalankan melibatkan panelis dari pelbagai persatuan belia dan NGO turut diadakan.

Seorang pengunjung, Aina Syafiqah Hussin, 21, berkata program yang dianjurkan lebih santai dan bukan menjurus ke arah hiburan semata-mata.

“Kalau kita lihat masa kini, konsert-konsert lebih menjerumus gejala negatif seperti pergaulan tidak terbatas tetapi program ini ternyata membawa kelainan dengan lagu-lagu yang dibawakan berunsur nasihat dan motivasi,” katanya.

Selain itu, malam tadi, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said melancarkan antologi buku ” Puisi Jadi Senjata 2″ dan turut mendeklamasikan sajak dari buku itu.

Beliau ketika ditemui sejurus selesai pelancaran buku itu berkata, belia merupakan tonggak utama dalam sesebuah negara dan golongan ini perlu didekati supaya suara hati mereka dapat didengari dan diberi tindakan sewajarnya.

“Anak muda adalah pewaris kepimpinan masa kini dan golongan ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa diberi garis panduan yang sepatutnya demi masa depan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.