Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Lancarkan Tabung Bantuan Guaman Ambiga, BERSIH 3.0

SHAH ALAM 24 MEI : Satu tabung bagi menampung saman tuntutan gantirugi dan kos guaman terhadap Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga dan sembilan ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih dilancarkan hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Exco Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar, tabung itu juga akan digunakan untuk membantu kos guaman peserta-peserta Bersih 3.0 yang ditangkap selain 113 peserta yang dikehendaki pihak polis.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap aspirasi Bersih agar dapat menyumbang sekurang-kurangnya RM 1 setiap seorang bagi tujuan murni ini.

“Walaupun pada dasarnya Kerajaan Selangor mampu menyediakan dana tersebut tetapi kita berpendapat bahawa semua rakyat harus komited dan terlibat secara langsung dalam merealisasikan agenda dan matlamat Bersih,” ujar Dr. Xavier dalam kenyataannya.

Kerajaan Umno-BN telah menfailkan saman terhadap Ambiga dan jawatankuasa tersebut bagi menuntut ganti rugi RM122,000 untuk memperbaiki 15 kenderaan. Kenderaan tersebut didakwa rosak di dalam kekecohan yang berlaku pada himpunan BERSIH 3.0 pada April 28 lalu.

Dr Xavier menambah, sebuah sekretariat juga akan ditubuhkan bagi mengumpul dana kutipan dari orang ramai.

“Kita juga akan memaklumkan kepada orang ramai satu nombor akaun dalam masa terdekat untuk tujuan mengumpul sumbangan orang ramai.

“Sekretariat juga akan melancarkan ‘nationwide roadshow’ bagi menangkis segala tohmahan dan gambaran negatif yang Kerajaan Umno-BN lemparkan terhadap Bersih 3.0 menerusi media arus perdana,” jelasnya sambil selagi lagi menyeru seluruh rakyat menyumbang demi usaha murni tersebut.

ends

Leave a Reply

Your email address will not be published.