Categories
SELANGOR

Syarat Bahan Bukti Perlu Dikaji Semula

KUALA LANGAT 24 MEI – Majlis Daerah Kuala Langat akan mengkaji semula syarat bahan bukti dari segi perundangan berhubung pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat berkaitan pembuangan sampah sekitar Kuala Langat.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata, sebelum ini surat pekeliling berhubung perkara terbabit dikeluarkan pada 2005.

Bagaimanapun katanya, setelah diteliti, MDKL perlu mengkaji semula berikutan syarat bahan bukti yang perlu dikemukan oleh pemberi maklumat, mustahil untuk diambil kira.

“Ini kerana, bahan bukti yang perlu dikemukakan itu perlu disertakan gambar filem. Pada masa sekarang adalah mustahil untuk diikutkan syarat itu disebabkan penggunaan kamera digital yang sangat meluas masa kini.

“Justeru kita akan mengkaji semula syarat itu, jika penggunaan kamera digital boleh digunakan, MDKL akan melaksanakan pemberi ganjaran terbabit,” katanya ketika ditemui.

Hafiz memberitahu, ganjaran RM50 terbabit akan diberikan kepada pemberi maklumat yang melaporkan kepada MDKL berhubung masalah pembuangan sampah oleh pihak tertentu.

“Dalam syarat itu juga menyatakan, pemberi maklumat akan menerima wang ganjaran tersebut selepas pesalah membayar kesemua kompaun yang dikenakan MDKL,” katanya.

Beliau berkata, walaupun surat pekeliling berhubung perkara itu dikeluarkan sudah lama, tetapi perlaksanaannya tidak dilakukan.

“Kini, kita akan laksanakannya berikutan pembuangan sampah secara haram yang semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.