Categories
NASIONAL

Hormat Keputusan Rafizi Untuk Fokus Calon PRU-13

SHAH ALAM 23 JUN : Perletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Esekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor bukan di sebabkan oleh masalah peribadi antara mereka berdua, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menghormati keputusan itu, Abdul Khalid menyifatkan perletakkan jawatan Pengarah Strategik PKR itu untuk memberi fokus dalam usaha menjadi ahli parlimen dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Jelasnya, tindakan Rafizi meletakkan jawatan dalam Kerajaan Negeri juga untuk lebih bebas dalam mengutarakan sebarang pandangan.

“Beliau (Rafizi) memang nak fokus untuk jadi ahli parlimen maka perlu bertindak secara berkecuali. Namun kita sangat profesional, kita bekerja sebagai satu pasukan dan saya tidak pernah ada masalah dengannya,” katanya selepas mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan pembukaan Pusat Membeli Belah Setia City Mall, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lend Lease, Rod Leaver serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi S P Setia, Tan Sri Liew Kee Sin.

Pusat beli-belah seluas 65,000 meter persegi itu siap dibina awal tahun ini di tengah-tengah Bandar Setia Alam. Perbandaran baharu di bandar itu berkeluasan 1,620 hektar.

Setia City Mall dimajukan oleh Greenhill Resources Sdn Bhd di bawah usaha sama antara S P Setia dan Asian Retail Investment Fund, dana yang diuruskan oleh cabang pelaburan pemaju hartanah antarabangsa, Lend Lease.

Nilai Pembagunan Kasar (GDV) meliputi pusat membeli belah, pejabat, hotel dan apartment itu menelan kos sebanyak RM5 bilion.

Mengulas tentang penganti Rafizi, Abdul Khalid menambah jawatan itu juga tidak akan diganti dengan mana-mana individu kerana perkara yang lebih penting adalah terus menumpukan kerja dalam Kerajaan Negeri.

Rafizi sebelum ini menulis di laman sosial twitternya semalam berhubung perletakan jawatannya itu.

Tindakannya itu secara tidak langsung mewujudkan pelbagai andaian bahawa beliau memprotes pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti dilaporkan akhbar mesra Umno-BN.

Manakala Rafizi menerusi tulisannya berkata bahawa beliau ingin berehat dan menumpukan ibadat terutama bulan Ramadan akan menjelang tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.