Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Surat Faekah Amalan Biasa

SHAH ALAMĀ  23 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan isu pemberian surat sokongan daripada Setiausaha Politiknya, Faekah Husin kepada sebuah firma guaman tidak seharusnya timbul.

Katanya, menjadi amalan biasa sekiranya mana-mana syarikat lain memintanya menandatangani surat sokongan seperti itu.

Beliau berkata firma guaman terbabit juga tidak dilantik dalam keputusan pengambilan panel peguam oleh salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri(GLC) itu.

“Isu surat sokongan itu tidak timbul, hal itu biasa, kadang-kadang saya pun akan tulis ‘dipanjangkan’ itu sahaja. Syarikat itu tidak dapat pun… adakalanya orang tidak mahu suruh saya tandatangan sebab tidak dapat,” katanya selepas mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan pembukaan Pusat Membeli Belah Setia City Mall, di sini.

Abdul Khalid menambah perkara itu juga tidak menjadi satu kesalahan etika kerana beliau hanya memanjangkan surat itu untuk dipertimbangkan sekiranya perlu.

“Kalau kita kata, sila ambil dia untuk dapatkan perniagaan itu, itu memang salah. Tapi saya panjangkan surat itu untuk dipertimbangkan jika perlu.

“Jadi kalau orang tulis surat kepada saya, sebagai contoh ‘boleh tidak Menteri Besar berikan surat ini kepada PKNS? Apa yang saya akan buat, saya tulis sahaja ‘panjangkan’ maknanya saya tidak ‘melobi’. Sebab saya tahu tujuan dia tulis surat itu kepada saya supaya mendapat perhatian PKNS. Jadi saya panjangkan lah…tapi terpulang kepada PKNS atau mana-mana syarikat GLC untuk menimbangkannya.

“Oleh itu juga makin kurang orang tulis surat kepada saya sebab saya hanya tulis panjangkan saja bukan tulis ‘sila bagi dia bisnes’,” katanya.

Sebelum ini, Faekah seperti mana dilapor akhbar dan blog mesra Umno-BN bahawa beliau didakwa menulis surat sokongan kepada firma guaman milik anak saudaranya agar dilantik menjadi panel peguam Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Katanya, walaupun beliau menandatangani surat berkenaan, namun ia tidak bermaksud salah guna kuasa berlaku kerana beliau tidak memberi projek kepada firma berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.