Categories
NASIONAL

Iskandar : Dakwaan Sukar Jual Rumah Mampu Milik Bawah RM150,000 Tidak Benar

SHAH ALAM 5 JUN : Dakwaan bahawa rumah kediaman di bawah RM150,000 yang dibina Kerajaan Negeri Selangor susah hendak dijual dinafikan, Iskandar Abdul Samad.

Iskandar yang merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan berkata, dakwaan ini bertujuan mempertahankan program Perumahan 1 Malaysia atau PR1MA di mana harga sebuah rumah ada yang mencecah RM300,000 sebuah.

Malah jelasnya, projek rumah mampu milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sedang bina di Bangi kini dijual 100 peratus.

“Lebih 500 permohonan diterima untuk membeli 124 unit pangsapuri yang sedang dibina itu dengan setiap unit dijual dengan harga di bawah RM100,000,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Manakala lebih 2,000 borang permohonan untuk membeli rumah mampu milik dibeli oleh orang ramai dari Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Sehingga kini, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri meluluskan hampir 1,000 unit rumah mampu milik di Shah Alam dan Damansara.

Beliau juga menjelaskan memang terdapat rumah kos rendah yang dibina Kerajaan Negeri era Umno-BN yang tidak laku kerana lokasi tidak strategik sepeti jauh dengan kemudahan awam.

Masalah ini jelasnya tidak disalahkan kepada pemaju sepenuhnya, kerana dasar Kerajaan Negeri Umno-BN yang mewajibkan pemaju membina rumah kos rendah di projek melebihi 10 ekar tanpa mengambil kira lokasi dan permintaan setempat.

Menurut Iskandar lagi, walau bagaimana pun di bawah Kerajaan Negeri sekarang pemaju-pemaju boleh memohon untuk membina rumah mampu milik sekiranya sesuatu kawasan itu tidak sesuai untuk rumah kos rendah atau tidak ada permintaan untuk rumah kos rendah.

“Sekarang kedudukan rumah-rumah kos rendah diteliti agar masalah-masalah yang timbul sebelum ini tidak berulang kembali,” kata Iskandar.

Jelas beliau, walaupun terdapat desakan dari pelbagai pihak agar rumah kos rendah tidak lagi dibina dan mahu rumah kos rendah RM42,000 digantikan dengan rumah mampu milik RM85,000 hingga RM150,000.

Tetapi Kerajaan Negeri tidak membenarkan ini berlaku keranapendapatan 40 peratus isi rumah di negara ini masih di bawah RM1,500 sebulan.

Sekiranya rumah kos rendah tidak lagi dibina maka peluang sebahagian besar golongan ini untuk memiliki rumah sendiri akan tertutup sama sekali.

“Oleh yang demikian sehingga pendapatan golongan ini dapat dipertingkatkan, rumah kos rendah akan terus dibina,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.