Categories
NASIONAL

Johari : PR Tiada Kuasa Pengaruhi Tentera

SHAH ALAM 21 JUN : Pakatan Rakyat(PR)tiada kuasa mempengaruhi tentera membenci dan bangkit menentang Kerajaan Pusat, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Beliau menegaskan sebagai penjawat awam, anggota tentera juga mempunyai hak untuk mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan pemerintah dan sama sekali tidak memerlukan pengaruh pihak parti pembangkang untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, media pro Umno-BN melaporkan PR cuba mempengaruhi anggota tentera untuk membenci dan bangkit menentang Kerajaan Pusat.

“Tuduhan ini cetek. Tiada apa yang pelik dan luar biasa jika tentera tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan kerana mereka juga seperti rakyat lain yang berhak mengundi memilih kerajaan.

“Mereka juga sama seperti rakyat lain yang membayar cukai tapi berdepan dengan pelbagai konflik seperti kos sara hidup tinggi, harga barang meningkat, subsidi kurang dan sebagainya.

“Hak mereka ini mereka boleh pratikkan pada bila-bila masa sekalipun tanpa kehadiran parti pembangkang,” tegas Johari yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Seterusnya, beliau menjelaskan anggota tentera juga merupakan penjawat awam yang berpelajaran dan terlatih serta mampu membuat pertimbangan sendiri lebih-lebih lagi dalam dunia teknologi maklumat hari ini.

“Mereka boleh dapat informasi tentang sesuatu isu dengan jelas samada melalui media kerajaan atau media alternatif yang lain hanya di hujung jari dan mereka mampu untuk berfikir sendiri.

“Adakah golongan yang terlatih dan boleh berfikir ini begitu mudah dipengaruhi oleh sesuatu parti politik. Jawapannya sama sekali tidak,” sambung Johari ketika ditemubual melalui panggilan telefon.

Sambil menafikan sekali lagi tuduhan tersebut, beliau menambah sumber berkenaan tidak perlu bimbang kerana PR tidak pernah melancarkan gerakan mempengaruhi anggota tentera untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN.

“Jika mereka merasakan sokongan anggota tentera kepada mereka semakin merudum, lakukanlah sesuatu untuk menarik kembali sokongan itu dengan cara yang betul dan terhormat, bukan dengan mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

“Ini negara demokrasi, rakyat termasuk anggota tentera berhak memilih dan untuk tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana kerajaan yang memerintah,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.