Categories
NASIONAL SELANGOR

Kompaktor Baru Bagi Menolong Kontraktor Sampah

SHAH ALAM, 4 JUN : Bagi memperkemaskan sistem kutipan sampah di Selangor, Kerajaan Negeri akan menyediakan 50 buah lori pemanpat sampah atau kompaktor baru untuk disewa kontraktor.

Ini bagi memudahkan kerja-kerja kontraktor yang terpaksa menggunakan lori lama yang kerap rosak tetapi tidak mampu membeli lori baru.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ramai kontraktor tidak mampu membeli kompaktor sendiri yang biasanya berharga RM350,000 ke atas.

“Mereka ini terpaksa menyewa kompaktor yang telah lama, selalu rosak dan akhirnya menganggu prestasi kerja kontraktor.

“Jadi selepas ini mereka boleh menyewa dari kerajaan negeri dengan harga yang lebih berpatutan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berharap kualiti perkhidmatan syarikat-syarikat kontraktor terlibat akan ditingkatkan dengan adanya lori-lori ini.

Hari ini beliau menyerahkan 15 kenderaan pengangkut sampah itu yang dibeli oleh syarikat milik Kerajaan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Bhd kepada Majlis Bandaraya Shah Alam dan MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya).

Kompaktor-kompaktor ini merupakan sebahagian daripada 50 buah lori yang lain yang akan diberikan kepada daerah-daerah lain di Selangor.

Kesemua kenderaan tersebut akan selesai diedarkan selewat-lewatnya pada September nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.