Categories
AGENSI SELANGOR

MBPJ lancar pelan strategik usahawan ke arah digital, tawar latihan percuma

PETALING JAYA, 11 MAC : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dengan memfokus kepada empat strategi utama.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata strategi tersebut adalah bagi menambah baik infrastruktur usahawan, membangunkan modal insan dan memperkukuh ekonomi peniaga.

Menurut Mohamad Azhan Md Amir strategi keempat ialah memantapkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan untuk keberkesanan institusi dan pembangunan usahawan.

“Kita turut menyediakan kursus keusahawanan secara percuma kepada usahawan mikro bagi memberi penekanan berhubung aspek digital sebagai medium perniagaan.

“Sebanyak tiga kursus ditawarkan iaitu berkaitan asas keusahawanan dan kaedah mengaplikasi perniagaan ke arah pendigitalan dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor dan  Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dan Sesi Cabutan Bertuah Undi Petak Bazar Ramadan 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, seramai 180 usahawan mikro menyertai kursus tersebut sejak Oktober lalu dan hasil kaji selidik mendapati 14 peserta tidak menggunakan media sosial sebagai teknik pemasaran.

“Justeru, dalam usaha menarik minat mereka MBPJ akan memberi pengiktirafan kepada usahawan yang cemerlang dalam perniagaan hasil daripada modul kursus yang disertai.

“Dengan cara itu golongan ini dapat digilap menjadi usahawan pintar dan menjadi contoh kepada usahawan mikro lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSJ pasang cerucuk besi stabilkan tanah runtuh

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengarahkan jabatan kejuruteraannya untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran Pangsapuri Suria, Taman Kinrara 4, Puchong.

Arahan itu dibuat susulan lawatan Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar, Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain bin Che Ali dan Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han ke kawasan terbabit hari ini.

MBSJ dalam kenyataan di Facebook berkata, hasil pemeriksaan mendapati kejadian itu berpunca daripada peningkatan paras air di parit utama akibat hujan lebat.

“Hujan lebat telah menolak tembok ke dalam rezab parit utama.

“Oleh itu, jabatan kejuruteraan MBSJ sudah diarah untuk memasang kepingan cerucuk besi sepanjang 50 meter bagi menstabilkan keadaan tanah dalam kadar segera,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

65 keluarga terima baucar persekolahan RM300 sumbangan MBPJ

SUBANG JAYA, 4 MAC: Penerima baucar persekolahan program jom shopping kembali ke sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyifatkan bantuan diterima meringankan beban keluarganya.

Suri rumah Noorlaila Mat Jelani, 36, berkata pendapatan keluarganya terjejas selepas suaminya terbabit dalam kemalangan menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

“Kemalangan menyebabkan kaki suami saya patah, selain cedera pada tangan kanan menyebabkan beliau tidak boleh bekerja.

“Kini kami sekeluarga hanya bergantung pada gaji asas suami yang bekerja di sebuah hotel di Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pemandu teksi Mohd Ali Sharif, 51, berkata pendapatannya agak terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Apabila ada bantuan seperti ini saya bersyukur kerana beban perbelanjaan persekolahan empat anak dapat dikurangkan,” katanya.

Terdahulu, MBPJ mengagihkan baucar persekolahan bernilai RM300 kepada 65 keluarga golongan berpendapatan rendah menerusi program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya semalam.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ benar tuntutan semula bayaran kupon parkir bergores

SUBANG JAYA, 4 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membenarkan individu termasuk ejen yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata tuntutan itu boleh dibuat di pejabat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

“Semua pihak termasuk ejen iaitu kedai yang menjual kupon parkir bergores boleh membuat tuntutan bayaran.

“Ini bermakna mereka tidak akan rugi apa-apa dan boleh mendapatkan semula wang mengikut harga yang dibeli,” katanya ditemui pada program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir bergores dan menguatkuasa penggunaan e-kupon melalui Smart Selangor Parking (SSP) yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai boleh menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT di negeri ini sehingga akhir bulan ini.

Jika ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ promosi Petaling Jaya sebagai kota seni pada sambutan Tahun Baharu Cina

Persembahan kebudayaan oleh kakitangan MBPJ. Foto MBPJ

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina bertujuan mengeratkan hubungannya dengan masyarakat setempat.

Jurucakap unit komunikasi korporatnya berkata majlis sambutan tahunan yang berlangsung di Dataran Boulevard Seksyen 52, Petaling Jaya itu dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md. Amir.

“Pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, kami menampilkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum di negeri ini, selain kaum Cina dalam usaha mempromosikan Petaling Jaya sebagai kota seni di Selangor.

“Secara tidak langsung ia dapat mengeratkan perpaduan kaum dan memupuk sifat persaudaraan dalam kalangan masyarakat setempat,” kata pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan semalam.

Majlis yang disertai penduduk dan peniaga sekitar kawasan berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, tarian tradisional, selain pengagihan buah limau kepada pengunjung serta premis perniagaan di sekitar Seksyen 52 sebagai simbolik kemakmuran dan kekayaan.

Terdahulu, katanya, pada 28 Januari lalu bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, MBPJ menyumbang wang tunai RM250 kepada 50 keluarga berpendapatan bawah RM2,000 sebulan bagi meringankan beban mereka untuk menyambut perayaan itu.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ sasar periksa pematuhan SOP lebih 1,000 pengurusan strata

PETALING JAYA, 17 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan 1,264 syarikat pengurusan strata diperiksa menerusi operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang sekatan pergerakan penuh.

Pengarah Unit Pesuruhjaya Bangunan MBPJ berkata operasi dilaksana selepas kuasa diberi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluar kompaun bagi kesalahan mengikut Akta 342 berkuat kuasa 14 April lalu.

Katanya, pemeriksaan antara lain menyemak surat kelulusan operasi syarikat dan senarai pekerja dibenarkan hadir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

“Kita semak bagi pastikan tidak berlaku salah guna atau pemalsuan dokumen. Setakat ini, mereka menunjukkan pematuhan SOP yang baik,” kata Sr Jayanthi Kupusamy selepas operasi di Zenith Residences, di sini, hari ini.

Selain itu beliau berkata sebanyak 10 pengurusan strata telah disenarai untuk diperiksa dalam masa terdekat ini.

Jika terdapat pelanggaran SOP, Akta 342 menetapkan kompaun RM2,000 bagi individu manakala RM10,000 untuk syarikat.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ cadang KPI ahli majlis PBT

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang melaksanakan indeks prestasi utama (KPI) bagi memantau gerak kerja ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik selain meningkatkan kualiti penyampaian.

“Sudah tiba masanya KPI diperkenalkan dan cadangan ini perlu dipertimbangkan.

“Seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) tidak mampu melaksanakan semua perkara jadi ahli majlis perlu membantu menyelesaikan aduan penduduk,” katanya.

Beliau menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selcat dipengerusikan ADN Sekinchan Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ tumpu 14 lokasi panas cegah denggi

PETALING JAYA, 10 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengenal pasti 14 lokasi panas bagi menangani kes denggi di kawasan pentadbirannya.

Unit kawalan vektornya berkata tindakan pengawasan berterusan dijalankan bagi mengatasi masalah itu berikutan kes terbabit agak tinggi di sini termasuk di peringkat negeri.

Katanya, kawasan tumpuan itu adalah di PJU 1A (Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar Lembah Subang), PJU 9 SD 3, PJU SD 12, PJU 10, SS 2, SS 6, SS 7, SS 20, Seksyen 17, 20, 51 A, PJS 2C (Pangsapuri Medan Cahaya), PJS 2B (Pangsapuri Desa Mentari) dan PJS 5 (Pangsapuri Desa Ria).

“Sebanyak 130,000 kes denggi direkodkan di seluruh negara tahun lalu iaitu dua kali ganda berbanding 78,066 kes pada 2018 dan daripada jumlah itu, Selangor menyumbang separuh daripada keseluruhan kes.

“Manakala Petaling merupakan daerah dengan kes denggi tertinggi di negeri ini,” katanya.

Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 2,828 kes sejak 29 Disember tahun lalu hingga 8 Januari, menurut statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

Ia merekodkan 303 kes pada 8 Januari lalu iaitu ketiga tertinggi selepas Johor (346) dan Kuala Lumpur (326).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan dan kawalan supaya aliran pertambahan kes denggi dapat dibendung.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

MBPJ terima pengiktirafan UNESCO dalam sektor pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus melakar rekod tersendiri apabila diiktiraf antara 10 pemenang Anugerah Bandar Pembelajaran oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang Pendidikan Sains dan Kebudayaan pada tahun ini.

Jurucakap MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diberi susulan pencapaian dan kemajuan bandar raya terbabit, khususnya dalam sektor pendidikan.

Katanya, anugerah berkenaan akan disampaikan di Persidangan Antarabangsa Bandar Pembelajaran di Medelin, Colombia, pada Oktober ini.

“Terdapat sebanyak 101 sekolah rendah dan menengah, 182 pra sekolah dan 45 institusi pengajian tinggi serta enam perpustakaan komuniti di sekitar Petaling Jaya yang dikendalikan MBPJ.

“Selain Petaling Jaya, anugerah ini turut diberikan kepada Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sonderborg (Denmark),” katanya dalam kenyataan.

Mengangkat matlamat menjadikan bandar raya itu sebagai bandar pembelajaran sepanjang hayat diiktiraf UNESCO, MBPJ memaklumkan, pihaknya juga menjalin kerjasama strategik dengan Kolej Saito dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Katanya, persefahaman itu adalah dengan memfokuskan pendidikan secara formal termasuk peluang biasiswa kepada penduduk khasnya di Petaling Jaya yang melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan.

Categories
SELANGOR

MB – Anugerah untuk PJ bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 FEB: Kejayaan Petaling Jaya dinobatkan selaku penerima Anugerah Bandar Pembelajaran Pertubuhan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2019, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap bidang pendidikan khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melalui ciapan ringkas di Facebook berkata, kejayaan itu sekali gus meletakkan Petaling Jaya sebaris bandar raya ternama di dunia.

“Tahniah diucapkan kepada semua khususnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling atas pencapaian membanggakan ini,” tulisnya.

Melalui kenyataan web rasmi UNESCO, kejayaan Petaling Jaya berikutan pencapaian cemerlang dan prestasi ditempa bandar raya itu dalam sektor pendidikan.

Kajian itu berdasarkan daripada Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL), yang menyifatkan rancangan Petaling Jaya menaik taraf pendidikan awam dan mampu menyediakan bas percuma adalah satu perkara terbaik.

Malah, bandar raya itu (Petaling Jaya) juga menggunakan sepenuhnya sumber disediakan rakan strategik.

Selain Petaling Jaya, sembilan bandar raya lain diberi anugerah sama ialah Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sønderborg (Denmark).

UNESCO berkata, kejayaan 10 bandar raya berkenaan mampu memberi keyakinan bagi mempromosikan pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat di peringkat tempatan.

Anugerah berkenaan akan disampaikan pada penganjuran Persidangan Bandar Pembelajaran Antarabangsa 2019 di Medellin, Columbia.

Categories
SELANGOR

PAS Seri Setia sendiri ‘seram’ reputasi Halimey

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Reputasi calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyebabkan tiada calon PAS dalam kalangan anak jati mahu bertanding pada bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, beliau diberitahu PAS Seri Setia sendiri merasa ‘seram’ dengan rekod cemerlang Halimey sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sehingga memaksa PAS ‘mengimport’ calon luar bagi menentang Halimey.

“Saya diberitahu Dato’ Bandar Petaling Jaya, rekod Halimey di Seri Setia memang hebat sehinggakan beliau diberitahu Yang Dipertua PAS pun tak sanggup lawan Halimey.

“Dia kata, kalau Halimey bertanding, mereka tak sanggup nak lawan sebab semua orang kenal Halimey,” katanya pada program ceramah ‘Grand Finale’ di sini, hari ini.

Azmizam turut menggesa penyokong PAKATAN tidak mengulangi kesilapan pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini di mana peratusan keluar mengundi terlalu rendah.

Beliau yang ketika itu bertanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PRK Sungai Kandis berkata, kebanyakkan penyokong PAKATAN yang ditemui pada masa itu menyatakan keyakinan PAKATAN akan menang mudah.

“Rata-rata rakan ditemui berkata tak payah mengundi kerana mereka yakin PAKATAN akan menang sehinggakan pada pagi itu saya berdebar kerana baru 15 peratus turun mengundi,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Video viral ‘penguatkuasa MBPJ’ pukul pemilik restoran palsu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menolak tomahan dan tuduhan mengenai satu video memaparkan sekumpulan lelaki beruniform sedang memukul pekerja dan pemilik restoran.

Video terbabit kini menjadi viral di media sosial dan aplikasi pesanan Whatsapp.

Dalam kenyataan, MBPJ kesal dengan penyebaran video berkenaan kerana ia merosakkan imej penguatkuasa dan secara tidak langsung merosakkan imej penjawat awam.

unnamedDifahamkan, video berdurasi 1 minit 44 saat itu berlaku di Shanghai, China.

“Ia sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan pihak MBPJ mahupun mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dan menyebarkan video berkenaan di laman sosial dan juga aplikasi pesanan ringkas.

MBPJ mengambil serius akan tuduhan itu dan akan mengambil tindakan selanjutnya bagi menjejak penyebar video berkenaan.

-nR-