Categories
SELANGOR

Remaja 16 Tahun Juara Golf Piala Menteri Besar Selangor

KUALA LUMPUR 10 JUN : Ternyata hari ini merupakan hari yang istimewa buat Low Khai Jei yang bukan sahaja menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 16, tetapi turut berjaya meraih gelaran Juara Kejohanan Golf Etiqa Selangor International Junior Masters bagi kategori lelaki bawah 18 tahun.

Dengan gelaran juara tersebut, beliau berjaya membawa pulang hadiah berupa Piala Datuk Menteri Besar, Piala Juara Kejohanan dan Apple MacBook Air yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kelab Golf Seri Selangor di sini petang tadi.

“Saya bermula agak baik pada awalnya, kemudian dipintas oleh pesaing saya tetapi akhirnya saya berjaya juga menghadapi tekanan untuk mendahului kembali.

“Sememangnya hari ini hari yang paling istimewa bagi saya,” ujar Khai Jei yang turut gembira menerima kejutan kek harijadinya oleh pihak penganjur, Etiqa Insurance Berhad sewaktu majlis penyampaian hadiah.

Selain kategori lelaki bawah 18, turut dipertandingkan adalah kategori lelaki bawah 21, lelaki bawah 15, lelaki bawah 12 serta kategori wanita bawah 21.

Kesemua pemenang dari setiap kategori menerima hadiah berupa barangan daripada Apple samada iPad, iPod Touch, iPod Nano atau iPod Shuffle setiap seorang yang mana kesemuanya disampaikan Abdul Khalid.

Seramai 96 peserta daripada seluruh Malaysia selain beberapa peserta luar seperti Korea dan Singapura bertanding bermula dari Khamis lalu manakala pusingan akhir pada hari ini menyaksikan 60 peserta berentap.

Ini merupakan tahun keempat penganjuran kejohanan ini yang turut mendapat kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Selangor Master Tournament untuk mencungkil bakat-bakat baru dari negeri ini.

“Namun kita masih melihat secara mendalam beberapa perkara sebelum penganjuran dapat dilakukan dan kita berharap dengan lebih banyak acara kejohanan sebegini dapat diadakan.

“Dengan itu lebih ramai bakat muda dapat dihantar bertanding diperingkat kejohanan antarabangsa,” ujarnya yang mengakui turut meminati sukan golf namun terpaksa dilupakan buat masa ini demi tugasnya yang berat sebagai Menteri Besar.

Majlis kejohanan hari ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurance Berhad, Kamaludin Ahmad dan juga Pengarah Urusan Kelab Golf Seri Selangor, Datuk Amir Sharifudin Abu Bakar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.