Categories
NASIONAL

Himpunan ‘Oren Selamatkan Felda’ Diteruskan

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Himpunan Oren Selamatkan Felda pada Sabtu ini akan berjalan seperti biasa seperti yang dirancang meskipun polis tidak  membenarkan perarakan menuju ke Istana Negara.

Koordinator Gerakan Selamat Felda (GSF), Mazlan Aliman berkata, perkara ini belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan bersama polis di mana keputusan akhir akan diumumkan sehari sebelum himpunan ini berlangsung.

Menurutnya, sebelum ini berlangsung dua perbincangan bersama Polis Sentul dan Brickfields dan turut dihadiri oleh wakil istana bagi memastikan Himpunan Oren berlangsung aman.

Himpunan Oren diadakan untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) di Bursa Malaysia.

Katanya, lima nama untuk masuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang diPertuan Agong akan diserahkan kepada pihak istana dan polis esok.

“Kita telah maklumkan ‘checkpoint’ pertama di Masjid Wilayah untuk solat Zohor bagi peserta beragama Islam.  Selepas solat hajat, kita muka bergerak ke Dataran Mahkamah Jalan Duta bagi membolehkan peserta bukan Islam bersama kami.

“Kemudian kita akan bergerak ke Istana Negara lebih kurang 3KM. Kita masih meniliti pendirian polis memandangkan perarakkan ini melibatkan isu keselamatan,” katanya.

Pihak penganjur mensasarkan penyertaan 20,000 peserta dan bakal menjadi sejarah kepada Felda.

Perhimpunan itu juga akan disertai beberapa pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Pihaknya juga sedang menunggu jawapan daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri perhimpunan itu walaupun undangan telah dihantar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.