Categories
SELANGOR

Selangor Dapat Pelaburan RM 4.5 Bilion Pada Petengahan Tahun Pertama

SHAH ALAM 10 JULAI : Negeri Selangor mengekalkan tangga kedua dalam prestasi pelaburan di negara ini dengan mencatatkan nilai pelaburan sebanyak lebih RM4.5 bilion daripada 90 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh enam bulan ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata prestasi pelaburan negeri Selangor amat memberangsangkan berbanding negeri lain.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2010 nilai pelaburan mencatatkan sebanyak lebih RM10.6 bilion daripada 325 projek ; 2011 sebanyak lebih RM8.7 bilion daripada 263 projek.

“Selangor kekal di tangga kedua selepas negeri Sabah, bagaimanapun nilai pelaburan itu tidak jauh iaitu perbezaan hanya RM2 juta sahaja,” katanya yang menjawab soalan Ng Suee Lim (Sekinchan – DAP).

Sumber itu diperolehi mengikut perangkaan daripada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Teresa menambah sebanyak tujuh projek dengan nilai pelaburan lebih RM72 juta berjaya diperolehi Negara-negara Arab sejak dua tahun lalu.

“Untuk makluman, dari Januari hingga April tahun ini, sebanyak satu projek dari Saudi Arab yang terletak di Puncak Alam.

“Manakala bagi tempoh yang sama tahun 2011, tiga projek dari negara Iran iaitu di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Seri Kembangan.

“Selain itu, bagi tempoh yang sama tahun 2010, sebanyak tiga projek antaranya projek di Hulu selangor dari Iran dan dua projek dari Emiriah Arab Bersatu iaitu di Sungai Buloh dan Seksyen 22, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat dari negara Iran, Oman dan Qatar Sabtu ini.

“Dengan MOU itu kita berharap banyak pelaburan dari negara-negara itu pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.