KDEB Sumbang 1700 Tong Sampah Kepada Warga Shah Alam

SHAH ALAM 8 JULAI : Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)  menyumbangkan 1700 buah tong sampah sempena Program Zon Bersih Bulan Julai peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Sumbangan bernilai RM 200, 000  itu disampaikan secara simbolik oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi KDEB, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada wakil parcel penduduk Seksyen 10 dan 11 dalam satu majlis yang diadakan di Taman Permainan, Jalan Kurung 10/4 pagi tadi.

“Di harap usaha ini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan sampah yang baik.

“Pengurusan sampah yang baik akan mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, kondusif dan terurus,” ujar Abdul Khalid dalam ucapannya.

Sebanyak 1, 400 tong sampah disumbangkan kepada penduduk manakala selebihnya akan diserahkan kepada sekolah-sekolah dan surau-surau yang terdapat di Seksyen 10 dan 11.

Sementara itu, Abdul Khalid turut berkesempatan melancarkan buku sumber dan aktiviti bertajuk ‘Adam and Ruby The Recycle Bin’ terbitan MBSA yang akan diedarkan secara percuma kepada sekolah-sekolah rendah sekitar Shah Alam.

“Ini merupakan antara usaha murni dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak kecil tentang penjagaan kebersihan serta pengurusan sampah yang baik.

“Diharap usaha sebegini dapat dapat diteruskan bagi melahirkan rakyat yang lebih bertanggungjawab akan penjagaan kebersihan sepertimana yang diamalkan negara-negara maju seperti Jepun,” ujar beliau.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu, Datuk Bandara MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan serta Pengarah KDEB, Suhaimi Kamarulzaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published.