Categories
SELANGOR

MB Galak Tumpu Pelancongan Domestik

SHAH ALAM 8 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan agar tumpuan industri pelancongan negeri disasarkan kepada usaha pembangunan pelancongan domestik.

Langkah ini penting kerana menurutnya, industri pelancongan dunia kini sedang mengalami transisi perubahan ‘trend’ kesan daripada kejatuhan ekonomi global.

“Perkara ini dapat dilihat dengan statistik pelancongan penduduk Eropah dan Amerika yang lebih menjurus kepada perkhidmatan pelancongan dalam negara akibat pendapatan yang berkurangan.

“Maka kita juga harus mengambil langkah sama iaitu fokus kepada pelancongan domestik dengan enam puluh peratus usaha haruslah dilipatgandakan kepada kerja meningkatkan pasaran pelancongan domestik

“Antara lain kita boleh mempergiatkan usaha penganjuran aktiviti yang mampu menarik pelancong sedia ada dalam negeri untuk turut serta,” jelasnya.

Beliau menyampaikan amanat ini dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Appresiasi Pelancongan Selangor 2012 di Hotel De Palma di sini petang tadi.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Pelancongan Negeri Selangor dengan Tourism Selangor Sdn Bhd ini bertujuan memberi penghargaan kepada pengusaha atau pihak-pihak berkenaan yang banyak membantu dalam perkembangan industri pelancongan Selangor.

Penghargaan diberikan kepada kepada 17 kategori penerima antaranya pihak hotel, restoran, agensi pelancongan, eko-pelancongan, pelancongan warisan dan sebagainya.

Kesemua pihak dinilai oleh jawatankuasa panel khas terdiri daripada Kerajaan Negeri, Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Pelancongan, Elizabeth Wong serta Ahli Exco Negeri, Rodziah Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published.