Categories
NASIONAL

Kontrak Urus MIED, AIMST Tidak Melalui Tender Terbuka

PETALING JAYA, 19 JULAI: PKR mendakwa wujudnya penyelewengan yang mengaitkan MIC di dalam menguruskan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan Asian Institute of Medical Sciences (AIMST).

Biro Strategi dan Polisi Nasional Keadilan, S Gobi Krishnan mendakwa, kontrak untuk membina AIMST sebelum ini telah dianugerahkan kepada kontraktor yang berkenaan tanpa melalui proses tender terbuka.

Menurutnya lagi, beberapa kontrak lain turut diberikan secara terus kepada ahli keluarga pemimpin tertinggi MIC.

“Kontrak keuntungan perkhidmatan kafeteria Universiti AIMST bernilai RM10 juta yang diuruskan sendiri telah diserahkan kepada pihak ketiga yang mengakibatkan mereka hilang punca pendapatan.

“Kontrak ini diberikan secara terus tanpa melalui tander terbuka kepada syarikat yang ada kaitan dengan Ketua Pemuda MIC,” katanya.

Beliau turut mendakwa, pihaknya mendapat maklumat yang menunjukkan kos pembinaan AIMST telah meningkat sebanyak dua kali ganda kepada RM645 juta.

Namun begitu beliau enggan untuk menyebutkan nama mereka yang terlibat dan hanya akan berbuat demikian sekiranya MIC terus membisu dan tidak memberikan sebarang penjelasan.

Sehubungan itu beliau meminta MIC memberi respon berhubung isu tersebut dan akan mendedahkan kepada umum sekiranya MIC gagal berbuat demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.