Categories
NASIONAL

Rafizi : Kerajaan Selangor Perlu Pantau Jajaran Tambahan LRT Kelana Jaya

 

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor perlu menubuhkan satu panel siasatan bebas bagi meneliti jajaran tambahan laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata ini bagi meneliti semua keputusan penilaian bidaan teknikal pembinaan sistem itu dan memastikan keselamatan rakyat Selangor terjamin.

Ini kerana beliau kurang yakin terhadap prestasi Syarikat Prasarana Nasional Berhad (Prasarana) yang mengendalikan projek itu berdasarkan beberapa kontroversi pemberian tender sebelum ini.

Menurut Rafizi, Kerajaan selangor perlu menggunakan sepenuh kuasa bagi memastikan jajaran laluan yang disyorkan oleh Prasarana mengambil kira kebimbangan dan kepentingan penduduk.

Selain itu, Kerajaan Negeri perlu memastikan kontraktor yang dilantik Prasarana mempunyai kepakaran dan kebolehan menjamin sistem yang dibina kelak adalah selamat untuk awam.

“Sekiranya Prasarana gagal mengambil kira tuntutan Kerajaan Selangor untuk turut sama berada di dalam panel penilai bebas, saya menyeru kerajaan negeri menggunakan sepenuh kuasanya untuk memastikan Prasarana tidak boleh meneruskan projek ini sehinggalah semua aspek keselamatan dititikberatkan,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Putra Heights dan Taman Alam Megah melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka berhubung laluan tambahan sistem LRT Kelana Jaya yang memasuki kawasan mereka.

Penduduk berkata jajaran tambahan itu terlalu dekat dengan rumah dan rapat dengan kolam air dan bekas kuari. Selain itu, laluan tersebut dibina pada kawasan bukit cerun curam Kelas III dan IV.

Leave a Reply

Your email address will not be published.