Categories
SELANGOR

Pemuda PAS Sokong Selangor Saman MCA

SHAH ALAM 5 JULAI : Pemuda PAS Selangor menyokong tindakan Kerajaan Negeri membuat tuntutan saman terhadap MCA berhubung dakwaan penyelewengan RM 1 bilion untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam Corporation Sdn. Bhd.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tindakan itu diambil kerana dakwaan tersebut tidak berasas dan mencemarkan imej Kerajaan Selangor

Menurut beliau, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong diberi peluang oleh Kerajaan Negeri untuk mengemukakan pembuktian terhadap dakwaan penyelewengan tersebut sebelum ini tetapi beliau gagal untuk berbuat demikian.

“Pemuda PAS Selangor amat bersetuju supaya tindakan tegas ini di ambil dengan segera sekaligus menjadi iktibar kepada pihak MCA, BN dan pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab supaya tidak secara sewenang-wenangnya menabur dan menghamburkan fitnah,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Ujar Hasbullah, pihak MCA cuba untuk menjadi populis dengan agenda politik fitnah murahan.

“MCA semakin ditolak oleh pengundi di Selangor, jadi mereka di lihat semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat walaupun terpaksa bergantung dengan isu-isu yang kabur dan berunsur fitnah,” ulas beliau.

Hasbullah menasihatkan pihak MCA dan BN supaya tidak lagi mencetuskan isu-isu yang berunsur fitnah dan kabur sebaliknya bertukar kepada perubahan politik yang lebih sihat berdasarkan hujah ilmiah dan pembuktian isu yang sahih.

“Kami tidak mahu hanya kerana kebencian mereka dalam pilihan raya umum lalu maka segala tindakan yang diambil bukan disebabkan keperluan dan kehendak rakyat tetapi semata-mata untuk kepentingan diri sendiri”, tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.