Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Debat Tentang Dasar, Hutang Talam Diserah Kepada Empat Wakil


SHAH ALAM, 18 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan berbincang mengenai isu pembangunan negeri atau pengubalan dasar.

Manakala penerangan mengenai proses teknikal kutipan hutang syarikat Talam Corporation (Talam) telah dipertugaskan kepada empat wakil rakyat yang dilantik kerajaan negeri.

Tambahnya, beliau hanya akan mempertimbangkan perbincangan secara profesional dengan pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong sekiranya dia memohon maaf kerana menuduh Kerajaan Negeri ?bailout? Talam sebanyak RM1 billion.

Menurut satu kenyataan Pejabat Menteri Besar itu hari ini, tuduhan Tee Yong dibuktikan tidak benar apabila firma audit KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati proses kutipan hutang itu bukan satu bailout.

Malah KPMG mendapati usaha kutipan Talam itu sebanyak RM 392 juta adalah keputusan munasabah dan bijak.

“Tuduhan itu telah dilaporkan hampir kesemua media arus perdana serta dibincangkan dari pelbagai sudut oleh editorial tetapi apabila terbukti tuduhan itu tidak benar, tiada satu patah perkataan maaf dibuat atau menarik balik tuduhan itu.?

Tambahnya, proses teknikal kutipan Talam itu juga telah diterangkan di dalam laporan syarikat audit bebas KPMG.

Manakala di dalam satu sidang media berasingan, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri memang bertanggungjawab untuk mengutip hutang yang ditinggalkan pentadbiran Umno-BN sebelum ini.

“Kalau yang boleh dibincangkan atau difahami ialah mengenai modus operandi pengutipan hutang, jadi modus operandi pengutipan talam itu sesuatu perkara yang rumit dan teknikal.

?Jadi supaya tidak membuang masa, saya menyemak sama ada usaha yang kita lakukan itu munasabah.

“Oleh itu, jadi untuk menerangkannya perkara ini saya sudah meminta satu jawatankuasa yang diwakili empat orang wakil untuk menerangkan mengenai isu itu kepada pelbagai pihak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mereka bentuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK), di lobi bangunan SUK, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik empat wakil untuk menerangkan proses kutipan hutang Talam berjumlah RM 392 juta.

Mereka adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ; Ahli Parlimen Selayang, William Leong ; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Walaubagaimanapun, keempat-empat wakil terbabit dihalang untuk menyertai satu debat anjuran Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong pada Sept 12 tetang isu tersebut.

Ke-empat-empat wakil yang hadir di lokasi debat itu di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, tidak dibenarkan berdebat dengan Chua walaupun telah membawa laporan KPMG untuk diterangkan kepada hadirin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Talam : PR Cabar MCA Debat Di Labis

SHAH ALAM, 6 SEPT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini mencabar Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong untuk berdebat di depan pengundinya sendiri di Labis pada 9 September ini berhubung isu penstrukturan hutang Talam Corporation.

Cabaran itu dikemukakan tiga ahli parlimen PR yang dilantik Kerajaan Negeri Selangor sebagai jurucakap berhubung isu Talam iaitu Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PAS), William Leong (Selayang-PKR) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara-DAP) pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, pagi tadi.

Dr Dzulkefly ketika dihubungi TV Selangor berkata debat itu bertujuan memberi peluang kepada Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengemukakan hujah dan bukti di hadapan pengundinya berhubung perkara itu.

“Dia (Tee Yong) dia boleh pilih antara kami bertiga, sama ada saya, Tony Pua atau William Leong atau Cik Faekah sendiri. Dia tidak layak langsung untuk berdebat dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu tersebut.

“Saya berulang kali menulis secara akademik dan teknikal berhubung isu Talam, tetapi mereka masih tidak faham. Ini bukannya kes baru,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan komersial yang baik dalam penyelesaian hutang Talam yang dibuktikan menerusi badan audit bebas antarabangsa yang dilantik, KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd.

Abdul Khalid turut menjelaskan perkara itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri mengutip sejumlah RM392 juta hutang daripada Talam telah dilaksanakan dengan tertib dan mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat Selangor.

Namun, Tee Yong masih belum berpuas hati dengan laporan juru audit tersebut serta mempersoalkan kredibiliti KPMG dengan memberi contoh skandal mega Enron yang berlaku di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tuduhan itu disangkal Dr Dzulfekly dengan menyifatkan ia sebagai “jahat”, tidak berasas dan tidak profesional.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB Nafi Dakwaan MCA Berhubung Status Tanah Bistari Jaya

SHAH ALAM 7 OGOS : Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menafikan dakwaan MCA berhubung pembelian tanah di Bistari Jaya yang dikatakan mempunyai komplikasi kerana 80 peratus ditenggelami air.

Ketua Pengarah Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar berkata plot tanah yang berkeluasan 1,312.89 ekar itu hanya meliputi 32 peratus air manakala selebihnya adalah tanah dan hutan.

Katanya, kedalaman air itu juga hanya mencecah dua hingga 10 meter.

“Saya berani mengemukakan cadangan kepada lembaga pengarah untuk membeli tanah itu bagi tujuan pembangunan berdasarkan pengalaman saya sebagai jurutera dalam industri kapal korek selama 15 tahun.

“Kami yakin pelan pembangunan ‘Bistari Lakeside’ yang dirancangkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.9 bilion mampu menarik pembeli,” katanya dalam sesi taklimat mengenai isu air dan isu hutang Talam di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa jumlah keseluruhan tanah berkenaan merupakan lombong yang dipenuhi dengan air.

Katanya, tanah tersebut langsung tidak memberi pulangan menguntungkan sebaliknya lebih banyak kerugian kepada kerajaan negeri kerana kawasan tanah tersebut langsung tidak ada pembangunan atau infrastruktur asas.

Categories
NASIONAL

Amaran Kepada MCA Henti Fitnah Isu Talam Atau Berdepan…

PETALING JAYA 13 JULAI: Pimpinan MCA diminta menghentikan fitnah berhubung isu Talam Corporation atau berdepan pendedahan perkaitan BN dengan syarikat berkenaan yang pernah menjadi anak emas Umno-MCA satu ketika dahulu.

Amaran keras ini diberikan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memandangkan hutang Talam merupakan antara siri penyelewengan kerajaan Umno-MCA yang akhirnya terpaksa diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Katanya, sekurang-kurangnya 4,259 ekar tanah dipindahmilik kepada Talam Corporation di zaman pemerintahan BN sehingga mereka membiarkan syarikat berkenaan tidak membayar cukai tanah dan premium kepada Kerajaan Negeri selain tanah berkenaan dicagarkan oleh Talam Corporation kepada bank.

“Jumlah tanah dan harta yang dirampas dari Talam Corporation oleh pentadbiran Pakatan Rakyat mencecah RM648 juta. Dari jumlah berkenaan, RM292 juta digunakan melangsaikan hutang bank dan pemiutang lain untuk membebaskan tanah-tanah tersebut daripada gadaian.

“Hasil bersih berjumlah RM392 juta adalah bersamaan dengan hutang-hutang Talam Corporation yang akhirnya berjaya dikutip,” katanya.

Jelas beliau, kiraan ini sebenarnya cukup mudah namun Ketua Biro Profesional Pemuda MCA, Datuk Chua Tee Yong cuba untuk mengaburi rakyat.

Kerajaan Selangor sebelum ini memutuskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MCA dan semua pihak yang terbabit terhadap tuduhan penyelewengan RM1 bilion berhubung isu Talam Corporation Bhd.

Sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan MCA boleh terus mengkritik penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) meskipun Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan fakta sebenar.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan saman terhadap MCA berhubung kes itu.

Categories
SELANGOR

Pemuda PAS Sokong Selangor Saman MCA

SHAH ALAM 5 JULAI : Pemuda PAS Selangor menyokong tindakan Kerajaan Negeri membuat tuntutan saman terhadap MCA berhubung dakwaan penyelewengan RM 1 bilion untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam Corporation Sdn. Bhd.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tindakan itu diambil kerana dakwaan tersebut tidak berasas dan mencemarkan imej Kerajaan Selangor

Menurut beliau, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong diberi peluang oleh Kerajaan Negeri untuk mengemukakan pembuktian terhadap dakwaan penyelewengan tersebut sebelum ini tetapi beliau gagal untuk berbuat demikian.

“Pemuda PAS Selangor amat bersetuju supaya tindakan tegas ini di ambil dengan segera sekaligus menjadi iktibar kepada pihak MCA, BN dan pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab supaya tidak secara sewenang-wenangnya menabur dan menghamburkan fitnah,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Ujar Hasbullah, pihak MCA cuba untuk menjadi populis dengan agenda politik fitnah murahan.

“MCA semakin ditolak oleh pengundi di Selangor, jadi mereka di lihat semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat walaupun terpaksa bergantung dengan isu-isu yang kabur dan berunsur fitnah,” ulas beliau.

Hasbullah menasihatkan pihak MCA dan BN supaya tidak lagi mencetuskan isu-isu yang berunsur fitnah dan kabur sebaliknya bertukar kepada perubahan politik yang lebih sihat berdasarkan hujah ilmiah dan pembuktian isu yang sahih.

“Kami tidak mahu hanya kerana kebencian mereka dalam pilihan raya umum lalu maka segala tindakan yang diambil bukan disebabkan keperluan dan kehendak rakyat tetapi semata-mata untuk kepentingan diri sendiri”, tegasnya.