Categories
NASIONAL

Polis Dwi Standard Tangani Kes Pemimpin PR

SUBANG JAYA  3 JUL : Adun Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengecam sikap dwi standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes terutama membabitkan pemimpin mereka.

Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, sepanjang PR mentadbir negeri Selangor dan Pulau Pinang, ramai pemimpin mereka diganggu dan diserang, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Beliau turut menyifatkan tindakan ‘sambil lewa’  polis itu sebagai tidak profesional.

“Contohnya, serangan terhadap Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) yang dipukul individu yang kami kenal pasti daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

“Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) dan Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) juga pernah diserang. Ceramah PR diganggu dengan balingan botol dan batu oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media, di Hotel Grand Dorsett, di sini tengah hari tadi.

Selain serangan fizikal, tambahnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengedarkan risalah berbaur fitnah secara berluasa untuk menjatuhkan PR.

Menurutnya, risalah itu merujuk kepada dakwaan bahawa Malaysia akan dikristiankan dan isu azan akan dihapuskan DAP sekiranya PR memerintah negara kelak.

“Kita desak polis ambil tindakan secara profesional tanpa mengambil kira parti politik sekiranya mereka benar-benar hendak menjaga keamanan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu turut mengemukakan cadangan supaya satu jawatankuasa bersama antara pemimpin PR dan Umno-BN dibentuk bagi menangani isu politik dan keganasan politik.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan PR untuk dipertimbangkan.

“Tindakan ini perlu kerana apabila berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, masalah keganasan politik boleh ditangani dan dijalankan secara aman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.