Categories
NASIONAL

‘Risalah’ Sebagai Ole-Ole Untuk Anak Muda Balik Kg

SHAH ALAM, 26 JULAI : Pakatan Rakyat tampil dengan pelbagai program bagi menyemarakan semangat rakyat khususnya anak muda bagi mengahadapi pilihanraya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya kini sedang giat menyusun program ‘Anak Muda Balik Kampung’ sempena Hari Raya Aidilfitri ini dengan membekalkan beberapa ole-ole pilihanraya.

“Menerusi program ini, mereka akan disertakan beberapa edaran dan risalah sebagai ole-ole untuk dibawa ke kampung halaman sempena hari raya nanti.

“Saya fikir usaha ini akan merancakkan lagi mood pilihanraya sewaktu suasana hari raya nanti,”ujarnya.

Program ‘Anak Muda Balik Kampung’ ini adalah kerjasama AMK dan Pemuda PAS yang dijangka akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

Sebelum ini, desas-desus banyak pihak mengatakan PRU-13 berkemungkinan besar akan diadakan selepas cuti Aidilfitri atau lebih spesifik pada September ini.

Ditanya adakah peratusan undi akan terjejas sekirannya PRU ke -13 diadakan selepas cuti umum Hari Raya Aidilfitri akan datang, Shamsul berkata ia bukan suatu ancaman yang harus diberi keutamaan oleh Pakatan Rakyat.

“Saya beranggapan Najib akan sedaya upaya mengelak dari berhadapan dalam suasana ini (PRU selepas Aidilfitri) kerana Umno-BN hari ini hanya bergantung sepenuhnya kepada pengundi luar bandar dan kawasan majoriti Melayu.

“Inilah dilema yang sedang dihadapi oleh kepimpinan Najib Razak yang sehingga kini gagal mencari waktu yang munasabah untuk mengadakan pilihanraya,”jelas Shamsul ketika dihubungi TVSelangor.

Namun, Shamsul tidak menolak sekirannya benar PRU diadakan pada waktu itu, ia akan memberi masalah kepada pengundi kerana terpaksa pulang kali kedua untuk mengundi selepas pulang bercuti Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Shamsul mengesa Kerajaan mengumumkan tarikh pilihanraya lebih awal sebagai persediaan semua pihak dan mengelak daripada pelbagai kesulitan.

“Jika Kerajaan serius dengan tema kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ sewajarnya Najib kembali kepada pengistiharaan kemerdekaan yang diungkapkan oleh Tengku Abdul Rahman iaiti negara ini perlu ditadbir atas landasan demokrasi, bebas dan juga adil.

“Jadi sila tunaikan janji itu, umumkan tarikh pilihanraya kerana ia sebahagian daripada ciri-ciri negara demokrasi,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.