Categories
NASIONAL

Syarikat Kalah Tender Dapat Projek Sistem Kawalan Udara KLIA2

KUALA LUMPUR 20 JULAI : PKR hari ini mendakwa sebuah syarikat Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) yang kalah dalam tender mendapatkan Projek Sistem Kawalan Udara di KLIA2 diberikan kepercayaan menguruskan projek tersebut.

Perkara ini didedahkan oleh NabPresiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mendedahkan di Parlimen sebuah sistem radar yang dibangunkan Selex Sistemi Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang menghadapi masalah dan menjejaskan aliran trafik udara di negara ini.

“Bagi projek KLIA2, syarikat AECOM dilantik menjadi konsultan kepada MAHB dan memulakan pengumpulan maklumat, data dan laporan sejak Februari 2010 untuk memberikan pendapat komprehensif; terutamanya di dalam tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan peralatan.

“AECOM juga mendapati ada keraguan dalam keberkesanan sistem kawalan udara SELEX dan mengesyorkan peningkatan sistem kawalan udara supaya ia dinaiktaraf dan kekal relevan supaya dapat menangani kapasiti penerbangan dengan lebih baik dan berkesan apabila KLIA2 dibuka nanti,” jelas Izzah dalam kenyataan itu.

Tambahnya, meskipun laporan penilaian teknikal AECOM bertarikh 9 Disember 2011 mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP) untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan menyarankan AMPCOP dipilih.

“Namun akhirnya projek ini diberikan kepada AAT – sebuah syarikat yang, mengikut laporan penilaian teknikal tersebut, tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk projek ini.

“Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan,” kenyataan itu dipetik.

Didedahkan juga bagaimana Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga dengan jelas memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012.

Izzah berkata, pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang.

Insiden-insiden kecacatan di dalam sistem MIP-2 juga diakui oleh Jabatan Penerbangan Awam, dan emel dalaman pegawai DCA dan ATC yang menggambarkan sistem radar kelolaan SELEX tidak berfungsi secara memuaskan.

Diperingatkan bahawa senarai kecacatan di dalam sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem LEFCO keluaran SELEX yang dibatalkan di Cyprus. Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.

Izzah mengesa agar MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono.

KLIA2 sebelum ini pernah menghadapi kontroversi antaranya, pemilihan tapak dengan permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan terbang – maklumat yang tidak diketengahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada rakyat.

Selain itu, kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM 3.6 bilion dan penundaan tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013; menambahkan lagi kontroversi, dan tentunya penggunaan wang rakyat apabila nilai projek KLIA2 melambung tinggi nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.