Categories
NASIONAL

Tangani Jenayah, Pendekatan Kerajaan Salah, Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat PKR

 

PETALING JAYA 10 JULAI: Pendekatan kerajaan dalam menguruskan masalah jenayah di negara ini adalah salah kerana ia hanya menumpukan kepada persepsi rakyat sahaja beritahu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau mendakwa 71 peratus daripada belanjawan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tahun 2012 adalah untuk aktiviti dasar mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan salah dalam memerangi jenayah apabila membelanjakan sebahagian besar peruntukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memerangi jenayah untuk menguruskan persepsi jenayah semata-mata.

Pada masa sama, kerajaan hanya memperuntukkan 3.67 peratus untuk mengurangkan jenayah pecah rumah dan curi kereta, 11.27 peratus untuk mengurangkan jenayah jalanan, 2.75 peratus untuk membawa penjenayah ke pengadilan, dan 11.25 peratus untuk meningkatkan tahap kepuasan awam dengan polis, jelas Wan Azizah lagi.

“Kerajaan tidak ikhlas apabila mereka hanya menumpukan kepada persepsi rakyat,” katanya.

Wan Azizah turut mengulas mengenai insiden serangan di perkarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam dengan mengatakan ia adalah contoh insiden yang tidak diingini yang berlaku di negara ini.

“Perkara berkaitan kawalan keselamatan perlu dititik berat oleh kerajaan bukannya melebihkan perbelanjaan untuk mengubah persepsi rakyat supaya lebih yakin kepada pihak keselamatan.

“Beberapa persoalan mengenai isu ini yang saya kemukakan sejak minggu lalu masih belum terjawab,” katanya

Mengulas ura-ura yang menyatakan beliau akan bertanding di kawasan DUN pada pilihan raya umum ke 13 yang akan datang, beliau memaklumkan akan mempertimbangkan perkara berkenaan.

Tetapi beliau enggan mengulas di kawasan dan negeri mana beliau akan bertanding sebaliknya akan berbincang terlebih dahulu sebelum perkara ini diputuskan.

“Bergantung pada mana-mana yang sesuai. Kalau bertanding DUN saya mesti ada sokongan pengundi di kawasan itu.

“Langkah pertama yang saya perlu buat adalah putuskan sama ada mahu bertanding atau tidak dan perlu utamakan faktor kemenangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.