Categories
NASIONAL

Indeks rasuah Malaysia merosot bukti transformasi Najib gagal

Zairil Khir Johari

SHAH ALAM 28 SEPT: Sikap Kerajaan Umno BN yang tiada kesungguhan politik dalam membantras gejala rasuah menjadi punca kedudukan negara terus merosot dalam senarai indeks negara dunia bebas rasuah.

Ini berikutan amalan pendakwaan terpilih yang hanya mengheret individu kecil, dan golongan atasan sebagai antara faktor gejala rasuah semakin berleluasa.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, ia menunjukkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Razak gagal mencapai matlamat.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata usaha membendung gejala rasuah boleh dilaksanakan jika kerajaan serius mengenai perkara ini.

“Ini menunjukkan program transformasi yang dibawa Najib semuanya gagal. Ia selaras laporan terdahulu, Global Financial Integrity (GFI) yang mendapati Malaysia sebagai negara kedua untuk pengaliran wang haram.

“Ini menunjukkan rasuah sebagai gejala berleluasa di Malaysia,” katanya.

Mengikut laporan Asia-Pacific Penipuan Laporan Penyiasatan Siri 2013, Malaysia pada tahap rasuah tertinggi dengan 54 peratus. diikuti China dengan 34 peratus.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, peruntukan perundangan sedia ada sepatutnya dilaksanakan dengan betul tanpa berat sebelah.

“Membanteras rasuah, sebenarnya senang. Cuma memerlukan kehendak politik. Maksudnya kerajaan perlu melaksanakan semua undang-undang dengan betul dan tidak berat sebelah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Buktikan Mengapa George Kent Layak Laksana Projek LRT

SHAH ALAM 3 OGOS : Kerajaan dan Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana)  perlu memberikan penjelasan kepada rakyat bahawa George Kent adalah ?konsortium terbaik? daripada segi harga dan kepakaran teknikal, berbanding syarikat itu sendiri yang membuat kenyataan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Prasarana perlu menunjukkan dokumen berkenaan dengan projek pembinaan tambahan LRT Ampang dengan membuktikan mengapa konsortium George Kent patut mendapat kontrak tersebut.

Prasarana pada Selasa lalu  mengumumkan bahawa George Kent-Lion Pacific (GKLP-JV)  berjaya mendapat kontrak tersebut yang bernilai RM956 juta.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak  campur tangan dalam pembidaan tender tersebut.

Penganugerahan kontrak itu juga dakwa dimiliki oleh ?kawan rapat? Perdana Menteri, dan mendapat markah terendah penilaian teknikal dan komersial dalam projek tersebut.

?Beban dari segala persoalan ini kepada kerajaan persekutuan untuk membuktikan bahawa tidak ada salah guna kuasa dalam penganugerahan tender kepada George Kent,? kata Pua dalam kenyataannya hari ini.

Jelas beliau lagi, tindakan terbaik untuk kerajaan  menghapuskan segala tuduhan terhadap kronisme ini ialah dengan menunjukkan segala dokumen dalam penganugerahan projek ini.

Ia dari dokumen tender hingga penyerahan projek, kepada kertas penilaian yang diaturkan oleh Prasarana dan panel konsultan serta minit mesyuarat dalam membuat keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan berkenaan dengan penganugerahan projek ini.

?Dengan mendedahkan dokumen ini, barulah sejajar dengan apa yang perdana menteri katakan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diketuai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), yang mahu ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran dan perolehan projek kerajaan,? ujar Tony.

Tambah Tony, kajian PEMANDU sendiri semasa GTP Roadmap 2010 menunjukkan ?71 peratus dari korporat tidak ada ketelusan dan keterbukaan dalam penganugerahan kontrak dari kerajaan?.

George Kent semalam  mengeluarkan kenyataan berkata GKLP-JV gagal dalam penilaian teknikal dan komersial sebagai ?tidak berasas?.

Syarikat itu mendakwa menguruskan banyak syarikat pembinaan yang melibatkan mekanikal kompleks dan kejuruteraan di Malaysia dan luar negara.

Ia juga mengatakan berjaya membina projek dalam masa dan bajet yang tepat, antaranya projek RM100 juta dan merekabentuk hospital Kuala Lipis.

George Kent juga berkata syarikat itu juga akan mengetuai projek LRT Ampang ini, bersama-sama Tewet GmbH, iaitu sebuah syarikat yang telah mempunyai pengalaman dengan membina lebih 400 projek serupa di seluruh dunia.

Sebelum ini,Rafizi menyeru kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk mendedahkan penganugerahan projek tambahan LRT Ampang.

Categories
SELANGOR

DAP: PEMANDU Gagal Tingkat Urus Tadbir Korporat

SHAH ALAM 02 OGOS : DAP hari ini mempertikaikan penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri yang hanya dilihat merugikan wang rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata berjuta-juta wang rakyat dibazirkan dengan penubuhan itu kerana Kerajaan Pusat mengabaikan dasar kecekapan unit itu dalam meningkatkan urus tadbir korporat.

Katanya, hal itu dapat dilihat dalam kes kontrak untuk projek sambungan LRT Ampang dianugerahkan kepada syarikat kerjasama George Kent-Lion Pasific Venture (JV).

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat mencampuri urusan PEMANDU dan memihak ke atas kontraktor yang dipilihnya berdasarkan ‘suka’.

“Perkara itu jelas membuktikan usaha Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala dalam melaksanakan dasar yang digubal oleh PEMANDU hanya sia-sia.

“Peranan PEMANDU dalam menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan program transformasi kerajaan (GTP) dan program transformasi ekonomi (ETP) juga gagal untuk melaksanakan pembaharuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, tindakan Najib mengabaikan GTP dengan menganugerahkan kontrak terus kepada vendor pilihan beliau sendiri tanpa mengambil kira ‘tender terbuka’.

“Ini tidak selaras dengan tujuan penubuhan PEMANDU yang mahu mengurangkan ketirisan dana yang diperuntukkan bagi pembangunan negara dan perbelanjaan operasi serta memastikan ketelusan dalam pemberian kontrak,” katanya.

Terdahulu, Pua mendedahkan George Kent hanyalah sebuah syarikat perpaipan yang tidak mempunyai kemahiran khusus berhubung pembinaan laluan LRT.

Lebih memburukkan keadaan katanya, syarikat itu hanya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM19.3 bilion dengan perolehan RM152 juta sehingga 31 Januari tahun ini.

Kelmarin, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengumumkan George Kent sebagai pemenang bidaan kontrak untuk projek tambahan LRT Ampang.

Projek yang bernilai RM7 bilion itu merangkumi laluan baru dari laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang yang akan bersambung di stesen baru di Putra Heights.

Projek tambahan LRT Ampang ini akan merangkumi sepanjang 17.7 kilometer dari Stesen Sri Petaling dan akan mempunyai 11 stesen baru dengan dua stesen tambahan untuk masa hadapan

Sebelum ini, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa Najib campurtangan dalam proses bidaan projek ini untuk memberinya kepada George Kent yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beliau.

Malah dedah Rafizi, Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) sebelum ini memilih syarikat Balfour-Beatty, namun Najib memilih George Kent JV untuk pelaksanaan projek itu.

Categories
NASIONAL

Tangani Jenayah, Pendekatan Kerajaan Salah, Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat PKR

 

PETALING JAYA 10 JULAI: Pendekatan kerajaan dalam menguruskan masalah jenayah di negara ini adalah salah kerana ia hanya menumpukan kepada persepsi rakyat sahaja beritahu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau mendakwa 71 peratus daripada belanjawan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tahun 2012 adalah untuk aktiviti dasar mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan salah dalam memerangi jenayah apabila membelanjakan sebahagian besar peruntukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memerangi jenayah untuk menguruskan persepsi jenayah semata-mata.

Pada masa sama, kerajaan hanya memperuntukkan 3.67 peratus untuk mengurangkan jenayah pecah rumah dan curi kereta, 11.27 peratus untuk mengurangkan jenayah jalanan, 2.75 peratus untuk membawa penjenayah ke pengadilan, dan 11.25 peratus untuk meningkatkan tahap kepuasan awam dengan polis, jelas Wan Azizah lagi.

“Kerajaan tidak ikhlas apabila mereka hanya menumpukan kepada persepsi rakyat,” katanya.

Wan Azizah turut mengulas mengenai insiden serangan di perkarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam dengan mengatakan ia adalah contoh insiden yang tidak diingini yang berlaku di negara ini.

“Perkara berkaitan kawalan keselamatan perlu dititik berat oleh kerajaan bukannya melebihkan perbelanjaan untuk mengubah persepsi rakyat supaya lebih yakin kepada pihak keselamatan.

“Beberapa persoalan mengenai isu ini yang saya kemukakan sejak minggu lalu masih belum terjawab,” katanya

Mengulas ura-ura yang menyatakan beliau akan bertanding di kawasan DUN pada pilihan raya umum ke 13 yang akan datang, beliau memaklumkan akan mempertimbangkan perkara berkenaan.

Tetapi beliau enggan mengulas di kawasan dan negeri mana beliau akan bertanding sebaliknya akan berbincang terlebih dahulu sebelum perkara ini diputuskan.

“Bergantung pada mana-mana yang sesuai. Kalau bertanding DUN saya mesti ada sokongan pengundi di kawasan itu.

“Langkah pertama yang saya perlu buat adalah putuskan sama ada mahu bertanding atau tidak dan perlu utamakan faktor kemenangan,” katanya.