Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid Sediakan Bas Ceramah Untuk Pakatan Rakyat

SHAH ALAM 20 OGOS : Jentera pilihanraya Pakatan Rakyat hari ini diperhebatkan lagi dengan penggunaan sebuah bas dua tingkat yang mempunyai platform ceramah bergerak bagi membawa mesej gabungan itu ke seluruh negara.

Bas yang dilengkapi dengan sistem audio-visual untuk acara luar itu disewa khas oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kegunaan Pakatan menjelang pilihan raya ke-13.

Abdul Khalid yang membayar sewa untuk bas tersebut daripada poket sendirinya tanpa menggunakan dana Kerajaan Selangor, mempamerkan kenderaan itu pada kali pertama di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Selangor semalam.

“Sebelum ini pimpinan Pakatan ada membincangkan cara efektif untuk berkempen dan mungkin ini adalah salah  satu daripada usaha tersebut.

“Ia disewa atas nama saya untuk jangka masa tiga hingga empat bulan khusus berkempen menjelang PRU13,” jelas Abdul Khalid dalam sidang media.

Beliau menambah, bas tersebut akan digunakan bagi membawa pimpinan Pakatan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia berkempen.

“Selepas seminggu raya ini kita akan menukar gambar yang digunakan (di luar dinding bas) dan bersedia untuk kempen.

“Ini juga mungkin sebagai satu tanda bahawa kita Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk PRU13,” ujarnya.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang hadir di majlis rumah terbuka turut dibawa melawat bas berkenaan.

 

Bas dua tingkat tersebut boleh memuatkan kira-kira 15 orang selain mempunyai ruang untuk dua buah kerusi rehat, sistem audio dan televisyen.

“Ianya juga praktikal digunakan sebagai platform untuk memberi ceramah,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.