Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia berupaya tangani kes virus, jangan cetus keadaan panik

PUTRAJAYA, 26 JAN: Malaysia mempunyai kapasiti untuk menangani kes virus 2019 novel koronavirus dengan sejarah kejayaan cemerlang mengawal penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Virus Ebola dan Virus Nipah yang pernah terjadi sebelum ini.

“Ia menunjukkan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk menjaga diri kita, tetapi kita memerlukan kerjasama semua rakyat Malaysia. Jangan tular berita palsu, menakutkan dengan memberi gambaran kita dalam keadaan panik, adalah penting untuk menjaga satu sama lain,” nasihat timbalan perdana menteri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi kluster 2019 novel koronavirus di sini hari ini.

Malah katanya status virus koronavirus di negara ini masih dalam keadaan terkawal tanpa perlu mencetuskan suasana panik.

“Di China ia dikategorikan sebagai wabak tapi di negara ini ia disifatkan sebagai satu kluster. Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas dengan kluster penyakit kluster virus yang telah dikesan di Wuhan, China yang kini merebak ke 14 buah negara di mana dilaporkan empat kes positif di Malaysia.

“Penyakit ini terkawal, jadi kita tidak mahu panik dan keadaan masih terkawal,” katanya.

Selain empat kes positif tersebut, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata 23 kes disahkan negatif dan masih terdapat empat kes yang masih menunggu keputusan makmal.

Jelasnya KKM memberi kerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kementerian kesihatan negara-negara jiran berhubung dengan situasi penyakit tersebut.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut membentang langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon kementerian bagi mengelak penularan kluster penyakit ini, termasuk melakukan saringan kesihatan terperinci di pintu masuk antarabangsa negara, dan pemantauan rapi di semua peringkat koodinasi menerusi pengaktifan bilik gerakan di peringkat daerah, negeri dan pusat,” katanya.

“Sebelum memasuki ke pesawat juga, wakil Malaysia Airlines akan melakukan saringan dengan bertanya soalan-soalan kepada penumpang untuk memberi kita pengetahuan adakah mereka berisiko untuk masuk ke negara kita,” katanya.

Pada masa yang sama katanya Wisma Putra terus memantau rapat keadaan 49 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa dan golongan profesional dan tidak ada keperluan untuk melakukan evakuasi buat masa ini.

“Pihak Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah mengeluarkan dua nasihat perjalanan kepada semua rakyat Malaysia di China dan menangguhkan sebarang perjalanan ke 13 wilayah yang dianggap berisiko di China,” katanya.

Hasil mesyuarat itu katanya beberapa cadangan dibuat termasuk kawalan kemasukan di pintu masuk negara diperketatkan.

“Ini termasuk semua penumpang penerbangan dari China termasuk warganegara Malaysia wajib melalui saringan kesihatan terperinci,” katanya.

Selain itu beliau berkata semua rakyat Malaysia yang telah melawat atau pulang bercuti dari Wuhan khususnya yang mengalami simptom, diminta untuk melaporkan diri segera ke hospital terdekat bagi pemeriksaan kesihatan.

“Manakala mereka yang tidak mempunyai simptom dikehendaki memantau status kesihatan masing-masing dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari China,” katanya.

Pada masa yang sama katanya difahamkan bahawa pihak China telah menyekat penerbangan antarabangsa komersil keluar dan masuk di Wuhan, dan telah tidak membenarkan pakej pelancongan secara berkumpulan bagi warganegaranya ke luar negara bermula 23 Januari 2020.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan semua rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Wuhan.

“Orang ramai turut diingatkan untuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan; serta segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya mengalami simptom,” katanya.

Beliau juga meminta pihak hospital swasta melaporkan segera kepada KKM bagi mana-mana kes penyakit berjangkit.

Beliau turut meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak KKM dan agensi kerajaan yang berkaitan dan semua pihak dinasihatkan agar tidak menimbulkan keadaan tidak tenteram dengan menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak pasti.

Mengenai soalan adakah visa pelancong dari China akan dihentikan, beliau berkata mengikut saranan WHO situasi di negara ini belum sampai ke tahap itu.

Beliau berkata pihak kerajaan akan menambah mesin pengesan haba di pintu-pintu masuk negara selain akan mengambil suhu semua penumpang.

“Namun ada penumpang yang tidak ada gejala pun, tetapi mereka adalah pembawa,” katanya namun pihak berkuasa akan cuba mengesan sejarah hubungan dengan orang lain yang pernah dilakukan penumpang sebelum ini.

Mengenai status pelancong Wuhan yang telah berada di Malaysia, katanya masalah logistik turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Kalau dah ramai kita nak letak kat mana, kerana mereka sihat dan tidak menunjukkan simptom kita nak kuarantin, jadi kita nak letak kat mana dan itu kita akan bincangkan dengan Kedutaan China di Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan mengenai “berita” yang menyatakan bahawa Filipina telah menyekat kedatangan warganegara China, Dr Wan Azizah berkata pihaknya telah mendapatkan pengesahan bahawa negara itu hanya menyekat pelancong dari Wuhan, langkah yang sama telah diambil oleh Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan jadikan i-Suri mandatori dalam masa tiga tahun

PUTRAJAYA, 12 OKT: Cadangan menjadikan Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) mandatori kini dikaji di peringkat Jabatan Peguam Negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ia akan mengambil masa tiga tahun untuk menjadikan caruman dua peratus dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dijalankan secara sukarela sebagai mandatori.

“Itu masih lagi dalam peringkat Attorney-General’s Chambers. Kita nak buat ia mandatori tetapi tertakluk kepada Akta KWSP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K: Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1), di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, caruman itu kini dijalankan secara sukarela oleh para suami kerana isteri yang telah membantu membina keluarga.

“Kita kena berikan satu penjelasan kepada para suami tentang kebaikan caruman ini untuk masa depan bersama dan ia akan berikan lebih lunak buat kita buat satu akta untuk pastikan suami memberi dua peratus caruman kepada isteri,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, kerajaan mengumumkan program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami sumbang dua daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Selain itu, Wan Azizah turut menyambut baik insentif buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan.

Beliau berkata, ia adalah satu langkah baik untuk golongan B40 dan M40 yang ingin mendapat anak, yang sebelum ini turut menjadi perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Azizah berkata, insentif tersebut bukan sahaja mengurangkan bebanan kewangan tetapi membawa kebahagiaan kepada pasangan yang inginkan anak, sekaligus memberi satu perasaan yang tidak boleh dibeli.

Belanjawan itu turut mengumumkan KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

Selain itu, turut diumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas membentangkan belanjawan tersebut di Parlimen hari ini.
Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan)
-Foto BERNAMA

Secara keseluruhannya, Wan Azizah berkata, Belanjawan 2020 lebih seimbang (balanced) dan menyeluruh kerana kaum wanita dan kanak-kanak turut diberi keutamaan.

Beliau berkata, pembentangan Belanjawan 2020 semalam telah memperuntukkan RM10 juta untuk penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baru di bangunan kerajaan dan sejumlah 66 TASKA telah mendapat manfaat berbanding sasaran awal 50 TASKA.

“Bagi 2020, kerajaan telah bertindak prihatin dengan meningkatkan peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA di bangunan kerajaan, terutamanya di hospital dan sekolah pada tahun hadapan.

“InnsyaAllah lebih banyak TASKA akan dapat diwujudkan dan lebih banyak keluarga, ibu bapa dan anak-anak yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini,” katanya.

Selain itu, Wan Azizah berkata bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

“Kita berharap lebih ramai ibu bapa atau penjaga akan memilih untuk menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak lebih terjamin,” katanya

Dalam bidang pendidikan bagi Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), Wan Azizah berkata kerajaan memperuntukkan RM 23 juta kepada sekolah kebangsaan untuk meningkatkan kemudahan dan tahap aksesibiliti sekolah untuk menjadikannya lebih mesra OKU.

“Ini selari dengan dasar penolakan sifar yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka. Alhamdulillah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Tahniah dan terima kasih ibu” – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Bersempena sambutan Hari Ibu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan penghargaan kepada para ibu di seluruh negara atas segala pengorbanan yang dilakukan demi memastikan anak-anak dan keluarga sentiasa dalam keadaan yang selamat dan lengkap.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ibu-ibu pada zaman ini berdepan cabaran yang sangat memerlukan mereka untuk bergerak pantas dan bijak mengatur strategi keibubapaan.

Dalam mesej Hari Ibu menerusi sebuah video pendek yang dimuat naik di laman Twitter kementerian, beliau berkata golongan ibu juga perlu mahir menggunakan teknologi moden dalam membantu mereka mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.

“Ia sekali gus memacu ahli keluarga menjadi modal insan yang berkualiti. Harapan saya, negara akan lebih maju dengan komitmen yang diberikan oleh anda semua terutama ibu-ibu yang dikasihi,” katanya dalam video berdurasi satu minit 36 saat itu.

Dr Wan Azizah turut mengambil kesempatan mengingatkan anak-anak supaya menghargai ibu masing-masing sepanjang hayat.

“Ingatlah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Tahniah dan terima kasih ibu. Anda merupakan insan yang hebat.

“Selamat hari ibu, kitakan keluarga,” katanya.

Hari Ibu disambut pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azizah: Pemimpin politik Perancis akui kempen antisawit tidak berasas

PARIS, 20 MAC: Beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis mengakui bahawa kempen negatif Kesatuan Eropah (EU) mengenai minyak kelapa sawit Malaysia adalah tidak berasas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pandangan itu disuarakan ahli Parlimen dan pemimpin politik terbabit, ketika mengadakan pertemuan dengan Wan Azizah di sebuah hotel di sini.

“Ahli Parlimen itu menyatakan bahawa mereka telah pergi ke Malaysia dan merasakan bahawa memang Malaysia mempunyai satu persekitaran yang baik (berkaitan industri kelapa sawit) dan mengakui bahawa kelapa sawit kita telah mendapat publisiti yang negatif.

“Mereka sendiri pernah ke Malaysia dan melihat sendiri dan mereka tahu bahawa kempen negatif ini memang tidak berasas dan mengakui bahawa kelapa sawit Malaysia bukan seperti yang didakwa sebagai ‘bad practice’,” katanya kepada BERNAMA dan RTM di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah dalam rangka kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad lalu dengan agenda utama bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

MOST ialah program sains antara kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai transformasi sosial.

Wan Azizah berkata, dalam pertemuan itu ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis terbabit turut terkejut apabila dimaklumkan bahawa Malaysia masih mempunyai lebih 53 peratus keluasan hutan.

“Menerusi kempen negatif mengenai industri sawit Malaysia, mereka diberitahu hutan Malaysia telah berkurangan, tetapi sebenarnya kita ada lebih 53 peratus.

“Saya juga memberitahu mereka mengenai hidupan liar kita yang masih ada dan terpelihara seperti harimau Malaysia (Malayan tiger) dan orang hutan,” katanya.

Dua anggota Parlimen Perancis yang hadir dalam pertemuan dengan Wan Azizah itu ialah anggota parti LaREM, Anne Genetet dan anggota parti UDI Meyer Habib. Mereka disertai tiga lagi pemimpin politik Perancis yang lain.

Industri minyak sawit negara berhadapan kritikan meluas dalam beberapa tahun ini, kerana dikaitkan dengan penebangan hutan yang menjejaskan alam sekitar.

Parlimen EU sebelum ini turut meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Selamat menyambut Pesta Kuih Bulan

OLEH: DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Perayaan Kuih Bulan merupakan sebuah perayaan berkait rapat dengan peristiwa sejarah perjuangan rakyat China yang bangkit menuntut kebebasan dari Dinasti Yuan yang cukup zalim pada sekitar abad ke-14.

Berdepan larangan berhimpun, sekatan maklumat, tekanan dan penindasan, Xhu Yuan Zhang dan Liu Bo Wen telah berikhtiar untuk mencari jalan untuk memanfaatkan kuih bulan, sebagai makanan asas yang dijual meluas di sekitar pasaran.

Maka pemimpin rakyat pada waktu itu mendapat idea untuk menyelitkan sepucuk nota, menyeru rakyat untuk bangkit menggulingkan kerajaan pada malam 15 haribulan lapan, yakni bulan kelapan dalam kalender Lunar.

Mesej tersebut berjaya disebar luas, dan akhirnya rakyat bangkit dan berjaya menjatuhkan pemerintahan Dinasti Yuan.

Melihat keadaan rakyat Malaysia hari ini yang semakin ditekan dan dizalimi rejim kleptokrasi Umno-BN, perayaan ini membawa iktibar kepada kita bahawa, sezalim manapun sebuah pemerintahan, jika rakyat bersatu menuntut keadilan dan kebebasan, mencapai kejayaan bukannya mustahil.

Kita harus terus istiqomah dan mengutamakan kesepakatan dalam meneruskan agenda Reformasi.

Selamat menyambut Pesta Kuih Bulan diucapkan kepada teman-teman yang merayakannya.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Rumah terbuka DUN Kajang meriah dihadiri rakyat dan pimpinan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 15 JULAI: Kemeriahan Syawal berterusan dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin.

Majlis yang bermula jam 11 pagi itu menerima sambutan menggalakkan dari pengunjung yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan lapisan umur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, majlis itu sememangnya dianjurkan setiap tahun pada musim perayaan bagi menyatupadukan rakyat bersama pimpinan Pakatan Harapan.

“Penganjuran rumah terbuka ini diharapkan dapat menyatupadukan rakyat tanpa mengira fahaman politik disamping mengeratkan pelbagai kaum tidak kira bangsas,” katanya yang jua Ketua Pembangkang Parlimen ketika ditemui di perkarangan PKM DUN Kajang, di sini hari ini.

Difahamkan terdapat lebih 50 juadah disajian kepada pengunjung antaranya lemang, rendang, sate, nasi impit, laksa, pelbagai jenis kuih muih, serta buah buahan.

Rumah terbuka tersebut turut diserikan dengan kehadiran para pimpinan Pakatan Harapan antaranya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan ramai lagi.

=EZY=

Saat kemenangan Pakatan Rakyat PRK P044 Permatang Pauh

Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr. Wan Azizah Wan Ismail diumum pemenang Pilihan Raya Kecil P044 Permatang Pauh.

Ucapan Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon PR PRK P044

http://tv.selangorku.com

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Perutusan Hari Malaysia dari Presiden Parti Keadilan Rakyat

wan azizah(PERUTUSAN)  16 September adalah catatan sejarah untuk Malaysia iaitu tarikh keramat untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di mana 14 negeri ditadbir dibawah satu kerajaan persekutuan yang berpegang kepada prinsip dan sistem demokrasi berparlimen.

Setelah 50 tahun , sudah pasti kita semua punyai impian untuk melihat negara yang kita cintai ini diterajui oleh kepimpinan yang benar-benar memartabatkan kehidupan dan hak rakyat.

KEADILAN mengimpikan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang membuka ruang kepada setiap individu warganya menikmati pendidikan percuma, kesihatan, keselamatan dan pengurusan yang ikhlas dan membela rakyat.

Sejajar dengan apa yang telah dideklarasikan di Permatang Pauh pada 12 September 1998 bahawa ?Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang?.

Selamat Hari Malaysia.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid Sediakan Bas Ceramah Untuk Pakatan Rakyat

SHAH ALAM 20 OGOS : Jentera pilihanraya Pakatan Rakyat hari ini diperhebatkan lagi dengan penggunaan sebuah bas dua tingkat yang mempunyai platform ceramah bergerak bagi membawa mesej gabungan itu ke seluruh negara.

Bas yang dilengkapi dengan sistem audio-visual untuk acara luar itu disewa khas oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kegunaan Pakatan menjelang pilihan raya ke-13.

Abdul Khalid yang membayar sewa untuk bas tersebut daripada poket sendirinya tanpa menggunakan dana Kerajaan Selangor, mempamerkan kenderaan itu pada kali pertama di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Selangor semalam.

“Sebelum ini pimpinan Pakatan ada membincangkan cara efektif untuk berkempen dan mungkin ini adalah salah  satu daripada usaha tersebut.

“Ia disewa atas nama saya untuk jangka masa tiga hingga empat bulan khusus berkempen menjelang PRU13,” jelas Abdul Khalid dalam sidang media.

Beliau menambah, bas tersebut akan digunakan bagi membawa pimpinan Pakatan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia berkempen.

“Selepas seminggu raya ini kita akan menukar gambar yang digunakan (di luar dinding bas) dan bersedia untuk kempen.

“Ini juga mungkin sebagai satu tanda bahawa kita Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk PRU13,” ujarnya.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang hadir di majlis rumah terbuka turut dibawa melawat bas berkenaan.

 

Bas dua tingkat tersebut boleh memuatkan kira-kira 15 orang selain mempunyai ruang untuk dua buah kerusi rehat, sistem audio dan televisyen.

“Ianya juga praktikal digunakan sebagai platform untuk memberi ceramah,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Lebih 20,000 Hadir Rumah Terbuka Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 20 OGOS : Kebanjiran rakyat Selangor di Dataran Dewan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Selangor semalami.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ternyata gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada warga Selangor daripada semua lapisan masyarakat dan bangsa.

“Kita juga berpuas hati dengan program kebajikan dalam majlis ini dengan menjemput anak-anak yatim seluruh Selangor dan juga Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kita juga berbesar hati dengan kehadiran orang-orang asal yang sudi memeriahkan lagi majlis hari ini,” ujar Abdul Khalid.

Mengulas lanjut, beliau berpuas hati dengan program menyemarakkan masjid dan surau sepanjang Ramadan.

“Lebih-lebih lagi dengan kesudian DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli mengunjungi lebih 20 buah masjid di seluruh negeri.

“Alhamdulillah kita berjaya mengunjungi setiap daerah sepanjang bulan puasa lalu,” tambahnya.

Dijangkakan lebih 20,000 warga menghadiri Majlis anjuran bersama anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) ini.

 

Turut memeriahkan majlis ialah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Adun-adun negeri Selangor.