Categories
NASIONAL

Dasar Automotif PKR Tidak Mengugat Proton

SHAH ALAM 25 OGOS : Dakwaan Umno-BN kononnya penurunan harga kereta akan memufliskan Proton menghina tenaga professional di syarikat automotif itu yang menunjukkan mereka mampu bersaing dengan jenama lain walaupun tidak dilindung Kerajaan Pusat.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata PKR mengiktiraf keupayaan Proton bertahan walaupun  tidak mendapat perlindungan rebat cukai eksais bermula 2005 yang ditamatkan pentadbiran Umno-BN.

“Sejak dari itu, kereta-kereta keluaran Proton dan perusahaan automotif nasional yang lain terpaksa membayar cukai eksais yang sama seperti kereta-kereta berjenama antarabangsa.

“Bantuan kewangan terbesar yang diperolehi Proton kini bukan lagi dalam bentuk perlindungan cukai.

?Tetapi geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membolehkannya menerokai rekaan dan teknologi yang lebih baik,” jelas kenyataan yang dibuat bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin.

Sebelum ini PKR mengumumkan dasar pemansuhan cukai eksais jika Pakatan Rakyat mentadbir negara.

Dasar itu dipercayai dapat mengurangkan harga kereta di pasaran dan merancakkan ekonomi negara apabila penurunan itu akan memberikan lebih kuasa berbelanja kepada masyarakat.

Penyata kewangan Proton bagi tahun 31 Mac 2011 menunjukkan ia mendapat geran R&D berjumlah RM 175 juta iaitu jauh lebih rendah dari rebat cukai eksais bernilai berbilion ringgit yang diberikan setiap tahun kepada Proton sehingga tahun 2005.

“Keupayaan Proton terus bersaing dan memperkenalkan beberapa model baru selepas tahun 2005 membuktikan bahawa Proton boleh terus kekal beroperasi tanpa dilindungi rebat cukai eksais.

“Dakwaan pimpinan Umno-BN yang menggambarkan seolah-olah Proton dan perusahaan automatif tempatan masih mendapat perlindungan cukai eksais adalah berniat jahat demi kepentingan politik mereka,” tambah kenyataan tersebut.

Di samping itu, semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP2012) oleh Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) memberi ruang kepada pengurangan cukai eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta.

PKR juga yakin pelan perniagaan Proton melalui kerjasama untuk memasang kereta-kereta berjenama lain akan berjaya mempertahankan pekerjaan sedia ada dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baru.

“Komitmen kita adalah mempertahankan peluang pekerjaan dan kebajikan puluhan ribu pekerja di dalam sektor automotif negara dan bukan mengikut karenah bekas pimpinan negara demi menjaga peninggalan pemerintahan beliau,” akhiri kenyataan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.