Categories
NASIONAL SELANGOR

Hari Belia Antarabangsa Selangor Dipenuhi Sambutan Ilmiah

SHAH ALAM 12 OGOS : Hari Belia Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

Sambutan yang dianjurkan Kerajaan Negeri itu adalah simbolik penghargaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengiktiraf peranan dan penyertaan anak muda dalam setiap aspek serta pelan pembangunan negeri.

 

 

Bagi Suhaida Bojeng, 25, program ini bukan sahaja berupaya merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah mampu menarik minat golongan belia khususnya terhadap pengisian program yang bersifat santai serta interaktif.

Katanya, program yang dianjurkan juga kebanyakannya menjurus ke arah pembentukan belia yang positif, sejajar dengan hasrat negeri untuk melahirkan belia berkualiti.

“Sambutan ini sama sekali berbeza dengan mana-mana program belia yang pernah dianjurkan sebelum ini. Ini kerana, ia tidak terlalu memberi tumpuan kepada aspek hiburan semata-mata, tetapi turut diselitkan dengan program berunsur keagamaan.

 

“Saya berharap supaya program berbentuk rohaniah sebegini dapat diteruskan di masa akan datang supaya para belia didedahkan dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat,” katanya.

 

Hal sama turut diakui Alexander Zulkarnain Kama, 21, yang menyifatkan sambutan Hari Belia ini berupaya merapatkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat, malah boleh menghindarkan remaja daripada melakukan aktiviti tidak sihat.

Menurutnya, penyertaan selebriti tanah air untuk berkongsi pengalaman juga adalah strategi terbaik bagi menarik minat golongan remaja terhadap program seumpama itu.

“Bagi saya, belia memerlukan seorang ikon atau ‘role model’ untuk dicontohi. Justeru, penglibatan selebriti tanah air yang sudah berhijrah memberi gambaran atau contoh yang baik kepada remaja.

“Kalau boleh, Kerajaan Negeri perlu perbanyakkan lagi program-program sebegini supaya para belia tahu hala tuju mereka dan melakukan perkara yang membawa kepada kebaikan,” ujarnya.

 

Sementara itu, Nurul Fatiha Muah, 24, berkata, tindakan Kerajaan Negeri menganjurkan program yang penuh dengan pengisian bersifat ilmiah ini seharusnya dipuji dan dicontohi oleh pimpinan negeri lain.

“Kita bukan hanya boleh beriadah atau bersantai secara sihat, tetapi turut dihidangkan dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Bagi saya, ia memang cara terbaik untuk melahirkan belia yang berwawasan,” jelasnya.

Program yang berlangsung bermula pukul 10 pagi hingga 12 malam itu dipenuhi acara menarik antaranya pertandingan memasak bubur lambuk, pertandingan catur piala Menteri Besar dan sesi motivasi ?Ramadanku? bersama Selebreti TV9, Ustaz Zamri dan Yatt Hamzah.

Pengunjung yang hadir juga turut berpeluang berbuka puasa bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain solat Maghrib, Isyak dan tarawikh secara berjemaah.

Abdul Khalid turut melancarkan Belia Ehsan Selangor diikuti persembahan istimewa oleh Faizal Tahir dan diakhiri dengan sembang santai bersama Ustaz Azhar Idrus dan beberapa selebriti jemputan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.