Categories
NASIONAL

MB : Belia Perlu Berilmu, Berakhlak Dan Berprinsip Untuk Majukan Negeri

SHAH ALAM 12 OGOS : Selain memiliki semangat dan kekuatan fizikal, golongan belia perlu memiliki ilmu, berakhlak serta berprinsip supaya boleh memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan negeri dan negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dengan ciri sedemikian selain kekuatan agama akan mampu melahirkan belia yang boleh bersosial dengan baik dengan emosi yang terkawal.

“Melalui semua ciri ini dapat melahirkan belia yang berilmu, berakhlak serta berprinsip yang dapat memberikan manfaat kepada negeri Selangor misalnya emosi yang terkawal dapat bersosial dengan baik serta yang penting akhlak yang mulia sentiasa berpaksikan pada kekuatan agama.

“Sikap yang terpuji ini tentulah lebih diutamakan apabila saudara saudari berhasrat untuk menjadi pemimpin yang adil, berketrampilan dan berintegriti,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Belia Antarabangsa 2012 Peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini semalam.

Turut hadir, Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Majlis dengan tema “Anak Muda Pemacu Pembangunan Negeri Selangor” berjaya menghimpunkan hampir 50,000 orang bermula dari pagi hingga malam dengan acara kemuncak ialah sesi soal jawab agama dikendalikan Penceramah Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus dan disertai selebriti popular seperti Faizal Tahir, Abby Abadi dan Man Raja Lawak.

Menteri Besar berkata, Selangor ketika ini mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 5.4 juta orang iaitu jumlah penduduk paling ramai berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dengan 45 peratus atau lebih dua juta orang adalah dari golongan belia berusia dari 15 ke 39 tahun.

Beliau berkata, maka dengan itu tenaga dan khidmat dari golongan muda tersebut amat penting bagi kemajuan negeri itu.

“Diharapkan pertemuan seumpama ini dapat mengeratkan hubungan sesama kita dalam masa yang sama dapat bertukar pendapat dan idea terutama dalam usaha untuk membuat jasa dan khidmat yang berguna kepada diri, keluarga, agama, bangsa, negeri dan negara keseluruhannya. Kita maklum golongan belia adalah amat penting sebagai penggerak dalam pelaksanaan pembangunan di sesebuah negara.

“Di Malaysia khususnya Selangor mempunyai golongan belia yang sentiasa ingin maju dan bekerja keras yang mana sangat diperlukan bagi membangunkan peradaban masyarakat dan negara. Dalam hubungan ini sememangnya tidak dapat dinafikan secara psikologinya manusia mencapai puncak kekuatan semangat dan kekuatan fizikal pada usia muda atau pada usia belia,” katanya.

Bagi memanfaatkan sumbangan belia di Selangor, katanya, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebagai penggerak aktiviti belia di setiap daerah melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan (PeBTv) di mana ketika ini semuanya berjumlah 280 PeBT di seluruh Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.