Categories
SELANGOR

JAIS Tahan Lapan Individu Dalam Ops Peminta Derma

 

SHAH ALAM 10 OGOS : Seramai lapan peminta derma menggunakan sijil pendaftaran madrasah dan tahfiz bagi meraih simpati ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sekitar bandaraya Shah Alam dan Petaling Jaya, di sini semalam.

Operasi selama tiga jam di sekitar bandar itu diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais, Zaaba Zakaria dengan membabitkan kira-kira 15 anggota penguatkuasa.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Jais, Hardi Mohamad Sadali berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 16 hingga 50 tahun, di mana tiga daripadanya disahkan warga asing.

Menurut Hardi, kegiatan ini biasanya tertumpu di kawasan awam seperti pam minyak, restoran dan kaki lima permis perniagaan.

Beliau berkata, kegiatan itu semakin rancak dijalankan sepanjang Ramadan hasil daripada pemantauan penguatkuasa dan aduan orang ramai sebulan yang lalu.

“Jais mendapati ada antara peminta derma yang ditahan ini tidak memiliki kebenaran atau lesen sah daripada Majlis. Ada di antara mereka terlibat dengan sindiket menggunakan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Kita juga mengenalpasti bahawa mereka ini biasanya akan mula beroperasi sekitar pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan didapati ‘menjual’ barang-barang tidak bersesuaian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Jais, di sini.

Di bawah Enakmen 106 Pentadbiran Agama Islam Negeri, Jais berkuasa merampas wang hasil kutipan derma dan diserahkan kepada Baitulmal.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.