Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN ‘Salahguna’ Balai Raya Demi Kepentingan Politik

BESTARI JAYA 10 OGOS : Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa bertindak tegas terhadap tindakan  Umno-BN yang didakwa mempergunakan kemudahan awam seperti Balai Raya Taman Pancaran di sini untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Tinjauan yang dijalankan TVSelangor mendapati  Umno-BN kawasan ini menaikkan bendera parti sedangkan dewan itu adalah untuk kegunaan semua.

Pegawai Penyelaras Pejabat Kerja Datuk Menteri Besar di DUN Ijok, Abdul Rahman Umar berkata peruntukan pembinaan dewan itu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di atas tanah Kerajaan Negeri yang diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kita sudah membuat aduan kepada pihak majlis daerah dan mereka sudahpun mengambil tindakan dan sudah menurunkan bendera parti itu semua tetapi apabila sebelah pagi diturunkan, sebelah petang naik lagi.

“Jadi, pada saya dewan itu adalah hak untuk kegunaan semua pihak dan bukan hak parti,” kata Abdul Rahman ketika ditemui di pejabat  DUN Ijok di sini.

Menurut beliau lagi, sudah beberapi kali pihaknya berhasrat untuk menggunakan kemudahan dewan itu untuk program kemasyarakatan namun tidak dibenarkan.

“Mereka kata ada program dan sebagainya, tetapi apabila diselidiki tidak ada, pada saya itu satu kesalahan kerana ia adalah hak awam,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan, setiap taman perumahan mempunyainya sendiri untuk digunakan menjalankan aktiviti kemasyarakatan, justeru tindakan menghalang menggunakan dewan itu adalah dikesali.

Beliau mengharapkan kerjasama agar isu ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik dan berhemah antara semua pihak demi kepentingan masyarakat di situ.

“Yang sepatutnya mengambil tindakan adalah Pihak Majlis Daerah kerana bangunan itu di bawah selian mereka,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.