Categories
SELANGOR

Kerajaan Digesa Serap Guru KAFA Ke Jawatan Tetap

SHAH ALAM,3 OGOS : Kerajaan pusat digesa mengkaji dan mempertimbangkan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sejak 16 Mei 2009  agar 33,000 guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) diserap ke jawatan tetap.

Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pada masa ini guru KAFA berkhidmat secara kontrak.

Mengambil kenyataan daripada Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman, pihak beliau telah menerima banyak rungutan dan keluhan berhubung isu taraf jawatan kontrak dan kebajikan guru KAFA yang tidak terbela.

Malah terdapat juga aduan yang menyatakan mereka telah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun tetapi secara kontrak. Perkara ini sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

“Bahkan lebih teruk kerana ada guru KAFA yang tidak disambung kontrak perkhidmatannya sedangkan dirinya dibebani dengan pelbagai jenis ansuran seperti kenderaan atau rumah yang perlu mereka jelaskan,” kata Faizi dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau lagi,diskriminasi terhadap guru KAFA tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka dalam memberi pendidikan dan pembentukkan generasi rabbani dan madani bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh dan kecil.

“Pemuda PAS mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keperihatinan mereka terhadap masalah yang melanda guru KAFA di negeri tersebut.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat konsisten dalam membantu untuk meringankan bebanan guru-guru KAFA ini terutama apabila kerajaan pusat mengumumkan ?duit raya? kepada penjawat-penjawat awam,” katanya

Tambah beliau lagi,pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM 500 ribu sebagai bonus kepada guru-guru ini.

Terkini pada tahun 2012, sebanyak RM RM3.9 juta telah diperuntukkan untuk pemberian bonus Hari Raya Aidil Fitri kepada penjawat awam dan guru KAFA seluruh negeri itu.

“Bagi membela kedudukan dan masa depan guru-guru KAFA ini, kerajaan perlu menyerapkan mereka ini ke dalam jawatan tetap.

“Bukan sahaja kehidupan mereka lebih terjamin bahkan mereka juga dapat memberikan perhatian yang lebih di dalam pengajaran mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.