Categories
SELANGOR

Walau Dihalang SPR : Tugas Mafrel Pantau Pilihan Raya Tidak Terjejas

SHAH ALAM 3 OGOS : Tugas Badan Malaysia Untuk Pilihan raya Bebas dan Adil (Mafrel) tidak akan terjejas walaupun pihak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) tidak mengiktiraf tugas badan itu bagi memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata untuk penambahbaikan proses demokrasi sewajarnya pihak SPR mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan pemantauan dan memberikan input dan maklum balas yang baik untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya.

“Mafrel akan meneruskan kerja dan kini sedang rancak untuk melaksanakan pemantauan semasa PRU-13, bagi Mafrel sendiri kita akan bertindak berdasarkan pengalaman dan perancangan yang sudah kita buat.

“Mafrel untuk melaksanakan tugas tidak akan terhalang kerana proses pemantauan ini luas, ia bukan hanya pemantauan pada hari mengundi tetapi merangkumi tugas untuk memeriksa daftar mengundi yang boleh dilaksanakan bila-bila masa sahaja,” kata Syed Noh ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau lagi, Mafrel masih boleh membuat pemantauan semasa proses penamaan calon yang boleh dilakukan daripada luar kawasan yang ditetapkan SPR dan juga pada waktu berkempen.

“Yang mungkin tidak boleh ialah cuma di kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai kawasan larangan oleh pihak SPR khususnya pusat penamaan calon dan pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi,lain-lain tempat adalah terbuka untuk Mafrel melaksanakan pemantauan,” katanya.

Sebelum ini, SPR memutuskan untuk tidak memberi akreditasi kepada badan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya berikutan aduan yang diterima.

Sementara itu,Syed Noh menegaskan keperluan untuk pihak pemantau antarabangsa dibenarkan bagi melaksanakan tugas dengan pemantauan semasa PRU-13 nanti.

“Pemantau antarabangsa akan membuat pemantauan secara umum dan peringkat tertinggi sahaja seperti soal keselamatan,demokrasi dan hak asasi secara umum,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.