Categories
SELANGOR

MPK Siapkan Kertas Kerja Cadangan Atasi Pembakaran Terbuka

KLANG 30 OGOS : Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menyiapkan kertas kerja bagi mencadangkan langkah mengatasi pembakaran terbuka yang berulang di kawasan Johan Setia di sini.

Pemangku Yang Dipertuanya, Mohd Ihsan Mukri berkata cadangan itu akan dihantar bersama laporan lengkap pemantauan dari Jawatankuasa Bertindak berhubung masalah itu kepada Exco Kerajaan Negeri.

Katanya, antara cadangan itu ialah melibatkan pengambilalihan tanah persendirian di kawasan berdekatan agar MPK dapat membina satu kolam tadahan.

“Ini kerana masalah utama yang kita hadapi ialah ketiadaan sumber air untuk memadamkan kebakaran di kawasan terbabit.

“Sebelum ini, apa yang mampu kami lakukan adalah memukul api dengan menggunakan penyapu rotan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPK.

Tambahnya, MPK kini dalam menyediakan keperluan lengkap termasuk peralatan asas dan pakaian yang bersesuaian untuk dibekalkan kepada anggota penguatkuasa.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Bomba untuk rangka kerja khusus antaranya memberi latihan kepada mereka sekiranya berulang.

“Menyedari hakikat itu, kita telah meminta pegawai untuk menyediakan peralatan sempurna kepada pekerja bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesihatan. Kita akan cuba cari kaedah untuk menambah baik keadaan sekarang, “katanya.

Sebelum ini, insiden kebakaran paling serius pernah dilaporkan berlaku antara bulan Mei dan Jun tahun ini dengan melibatkan kira-kira 20 ekar tanah.

Kebakaran itu tidak hanya berlaku di Klang sebaliknya turut membabitkan daerah lain seperti Kuala Langat sehingga mengakibatkan jerebu teruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published.