Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor : Berwaspada Terhadap Ajaran Sesat

BANTING, 8 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran ajaran sesat di Selangor yang dijalankan secara senyap dan terancang.

Justeru, baginda menyeru kepada umat Islam di negeri ini supaya tida terpedaya dengan ajakan dan seruan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi.

“Mereka ini akan sentiasa cuba mempengaruhi umat Islam daripada setiap sudut agar terpesong dan taksub serta mempercayai ajaran atau ideologi yang mereka bawa yang akhirnya boleh menyesatkan umat Islam sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Kampung Sawah, Kuala Langat, di sini semalam.

Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak 133 anak yatim, 97 fakir, 117 miskin dan 130 mualaf.

Baginda dalam pada itu juga menyeru semua pegawai dan ahli jawatankuasa masjid supaya ikhlas dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas masing-masing.

Titah baginda, seluruh kariah juga perlu menerima dan menghormati lantikan ahli jawatankuasa masjid yang telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ini adalah penting bagi mengeratkan hubungan sesama ummah dan Beta tidak berkenan jika ada di kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu yang berpuak-puak dan bersikap pilih kasih terutamanya ketika berada di dalam masjid.

“Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan dan suruhan daripada Allah S.W.T,” titah baginda.

Leave a Reply

Your email address will not be published.