Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor berkenan serah sumbangan 438 asnaf

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 23 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya berjumlah RM219,000 kepada 438 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf, di daerah ini.

Sumbangan terbabit disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Taman Padu Permai, di sini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM3,500 diserahkan kepada tujuh asnaf fakir, manakala RM157,500 diagihkan kepada 315 asnaf miskin.

Manakala, RM58,000 diserahkan kepada 116 asnaf mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang.

Baginda turut berkenan merasmikan Masjid Taman Padu Permai.

Turut berangkat mengiringi baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari dan Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Masjid Taman Padu Permai menelan belanja sebanyak RM9.5 juta dan mampu memuatkan kira-kira 1,500 jemaah.

Masjid yang beroperasi Mac 2017 itu menjadi mercu pembangunan baru di daerah Sabak Bernam, juga merupakan masjid ke 43 dibina dan merupakan satu-satunya terletak di dalam taman perumahan.

Masjid itu mempunyai dewan solat utama dan turut dilengkapi dengan perpustakaan, bilik mesyuarat, bilik imam, bilik dapur dan bilik pengurusan jenazah.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Elak bersidang langkau masa berlebihan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar persidangan Dewan Negeri tidak dilanjutkan pada tempoh maksimum melebih jam 12.00 malam.

Baginda bertitah, persidangan terlalu lama mengundang kepada faktor ‘keletihan’ Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi membahaskan sesuatu usul.

“Tempoh masa yang cukup (adalah perlu) bagi memastikan suara rakyat didengari melalui setiap kerusi dan Ahli Dewan Negeri yang dipilih.

“Namun, Beta ingin menyarankan agar setiap Dewan dapat mengurangkan mesyuarat Dewan melangkaui selepas jam 12 tengah malam.

“Beta yakin bahawa kecergasan minda semua termasuklah urus setia Dewan dan para pelapor tidak berada di paras yang optimum pada waktu itu,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia, 2017.

Dilaporkan, persidangan paling lewat dijalankan di peringkat Parlimen Malaysia berakhir jam 5.05 pagi mengatasi rekod sebelumnya pada 3.12 pagi dan 4.25 pagi.

Sementara itu, Baginda turut bertitah agar ADN berbahas secara bertangungjawab melangkaui emosi masing-masing.

Titah Baginda, wakil kerajaan dan pembangkang perlu mematuhi segala peruntukan Peraturan Tetap Dewan tanpa berlakunya sebarang pergaduhan di dalam atau luar dewan negeri.

“Beta tidak mahu berlakunya kejadian Ahli-Ahli yang berhormat bercakaran di dalam Dewan dengan melemparkan bahasa kesat dan menyakitkan hati tanpa mengawal emosi mereka.

“Adab dan tatasusila di dalam berbahas ini amat penting bagi mengambarkan bahawa negara kita mempunyai pemimpin negara yang matang dan berperibadi tinggi,” titah Baginda.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor cemar duli serikan Majlis Malam Gala Alam Segi Value

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JAN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyerikan Majlis Malam Gala Amal Segi Value Holdings Sdn Bhd di Hotel Concorde.

Dengan tema ‘Fresh Love, Fresh Hope’ anjuran kali pertama itu bertujuan memberikan sumbangan amal kepada beberapa badan kebajikan sebagai program tanggungjawab sosial mereka.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, rakan niaga Segi dan penaja.

majlis makan malam bersam segi fresh  (9 of 18)Empat badan kebajikan yang menerima sumbangan adalah Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Spastic Children’s Association of Selangor and Federal Territory (SCAOS&FT) dan Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang, Selangor.

Cek sumbangan disampaikan Sultan Sharafuddin sambil diiringi Pengasas dan Pengarah Urusan Segi Value Holdings, Chui Ah Hock dan Pengerusi, Chia Ah Hoo serta Mohamed Azmin.

Setiap badan kebajikan menerima cek sumbangan bernilai RM100,000 yang diserahkan kepada Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Abdul Aziz Shah (RACTAR), YAD Tan Sri Raja Arshad Uda (YMRS), Dato’ Seri Langat Diraja Selangor, Dr Lam Peng Chong (SCAOS&FT) dan Christine Wong (SCSOA).

Baki perolehan dari majlis ini akan dibahagikan sama rata kepada badan kebajikan lain antaranya Rumah Amal Asnaf Al-Barakh (Telok Panglima Garang), Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin Kanchong Darat (Banting), Pusat Jagaan Fatimah Yaakub dan Pusat Tahfiz Al-Walid (Bukit Beruntung), Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai Selangor (Kajang) dan Pusat Penjagaan Cahaya Kasih Bestari (Kampung Melayu Subang).

Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan model prototaip bangunan baru Segi Wholesales Mall yang bakal menjadi pasaraya baru dan ibu pejabat korporat Segi bertempai di Subang 2, Shah Alam serta dijangka siap sepenuhnya awal 2019.

EZY

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan puji MB pentadbiran cekap Selangor selama 6 tahun

SHAH ALAM 7 APRIL : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji usaha Kerajaan Negeri menerapkan konsep nilai untuk wang (value for money) dalam pentadbirannya selama enam tahun berturut-turut.

Baginda bertitah, penerapan konsep itu memastikan perbelanjaan negeri dilakukan secara berintegriti dan berhemah serta membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan berimbang selama enam tahun berturut-turut.

dnsTitah Baginda, dengan adanya belanjawan berimbang, Kerajaan Negeri juga tidak perlu meminjam daripada Kerajaan Pusat untuk perbelanjaan mengurus.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memantau perbelanjaan Jabatan atau Agensi supaya sentiasa mematuhi tatacara penggunaan dan perbelanjaan dana yang sudah dipersetujui.

“Usaha ini jelas membuktikan Kerajaan Beta sekarang bersungguh-sungguh melaksanakan prinsip telus dan berhemah,” titah Baginda Sultan sewaktu ucapan pembukaan penggal kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke 13 bagi tahun 2014.

Pada masa sama, Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian ekonomi Selangor yang terus mendahului penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan 23 peratus.

“Secara keseluruhannya, pembangunan ekonomi Negeri Selangor yang memberangsangkan terutamanya menerusi Sektor Perkhidmatan telah menyumbang 56.4 peratus kepada KDNK Selangor.

“Sektor Perkhidmatan dijangka terus menjadi pemacu ekonomi Selangor dengan aktiviti berkaitan perdagangan serta pengukuhan kemasukan pelaburan, teknologi dan tenaga profesional bagi meningkatkan sumbangan kepada KDNK negeri,” titah Baginda.

Pembangunan ekonomi Selangor juga digerakkan oleh Sektor Pembuatan mewakili 37.4 peratus KDNK negeri, diikuti Sektor Pembinaan sebanyak 4.5 peratus, Sektor Pertanian 1.6 peratus, dan Sektor Perlombongan dan Kuari sebanyak 0.1 peratus.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Awas” Usaha Komprehensif Tambah Baik Pelan Tindakan Wanita

skim tunas halimah haniza teresa 01

Kerajaan Negeri disarankan supaya melaksanakan “Agenda Wanita Selangor” atau Awas yang bertujuan menambahbaik program-program bantuan kepada wanita di negeri ini.

Antara program agenda itu yang dicadangkan ialah memperkenalkan Caruman Wanita Selangor yang bertujuan mengiktiraf sumbangan wanita terhadap pembangunan keluarga di negeri Selangor.

Haniza juga menyeru Selangor mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak harian (Day Care Centre) bagi membolehkan wanita berkerjaya menghantar anak-anak mereka.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, agenda pemberdayaan wanita ini dilihat sebagai satu saluran untuk memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita.

“Apabila dilihat daripada cadangan yang dikemukakan, ia sangat berbeza dengan program-program Kerajaan Negeri sedia ada seperti si Kembar, Tunas, Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) mahupun Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel).

“Awas adalah satu program khusus dan terus kepada wanita sesuai dengan konsep Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap wanita khasnya dan rakyat amnya,” kata Haniza dalam sidang media selepas sesi perbahasan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan terhadap program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sedia ada seperti memberikan Hadiah Anak Masuk Universiti kepada semua keluarga tanpa mengira paras berpendapatan.

Selain itu, beliau juga memohon supaya pemberian biasiswa negeri kepada pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) diperluaskan bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tambahnya, program menangani kemiskinan bandar juga perlu diberi perhatian seperti menyediakan makanan asasi kepada mereka yang mempunyai pendapatan di bawah garis minima.

Categories
NASIONAL

AMK Selangor Mohon Campurtangan Sultan Selangor Atasi Isu Air

syabas-AIR1

SHAH ALAM, 21 JAN : AMK Selangor memohon campur tangan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya membantu Kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ketuanya, Azmizam Zaman Huri berkata, AMK Selangor dengan kerjasama Pakatan Rakyat dan NGO akan menggerakkan satu perhimpunan aman Jumaat ini bagi tujuan tersebut.

?Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat? itu akan diadakan pada 25 Januari di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang selepas Solat Jumaat.

Himpunan tersebut akan berarak ke Istana Alam Shah untuk merafak sembah dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan Selangor supaya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda bagi mengatasi isu air itu.

“Ia bagi membantu usaha Kerajaan Selangor dalam mengambil alih Syabas seterusnya menguruskan sepenuhnya urusan pembekalan air kepada seluruh rakyat negeri Selangor, ” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Himpunan ini berikutan gangguan bekalan air baru-baru ini yang menjejaskan setengah juta penduduk di kawasan Lembah Klang selama daripada 29 Disember 2012 hingga ke 15 Januari.

Ujar Azmizam, Umno-BN menerusi media kawalan mereka secara berterusan memanipulasi masalah ini seolah-olah ianya berpunca daripada keengganan Kerajaan Selangor untuk memberi kelulusan kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Hakikatnya, pihak Syabas yang telah diberikan kontrak menguruskan pembekalan air terawat kepada rakyat Selangor telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Telah sampai masanya untuk kami turun merafak sembah dan memohon ihsan ke bawah DYMM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj untuk campurtangan di dalam isu ini.

“AMK Selangor sekali lagi mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi akan hasrat Kerajaan Selangor untuk mengambilalih Syabas.

“Dan percaya Kerajaan Selangor dipimpin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik kepada rakyat Selangor dengan kadar tarif yang berpatutan dan tidak membebankan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jemput Sultan : Rekod dedah Kerajaan Negeri ikut prosedur

SHAH ALAM : Penganjuran Majlis Sambutan Kemerdekaan Ke- 55 peringkat Selangor terbukti mengikut lunas amalan dan prosedur yang diamalkan sejak bertahun-tahun.

Merujuk rekod Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, DYMM Sultan Selangor hanya pernah sekali dijemput iaitu pada tahun 2007.

Rekod yang diperolehi sehingga tahun 2003 menunjukkan hanya Menteri Besar bertindak sebagai tetamu kehormat pada sambutan ambang Merdeka pada setiap malam 30 Ogos.

Bukti ini menunjukkan bahawa sejak dari pentadbiran Umno-BN lagi sebelum 2008, Sultan Selangor tidak dijemput untuk menyertai acara ambang kemerdekaan.

Menteri Besar Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata Sultan Selangor menerima jemputan pada setiap tahun untuk Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang diadakan pada setiap 31 Ogos sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Jemputan kepada Sultan Selangor pada 2007 itu melibatkan keberangkatan pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

Abdul Khalid mendedahkan rekod jemputan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ke pihak Sultan Selangor bagi menjawab persoalan mengapa baginda tidak dijemput ke acara ambang merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos lalu.

Persoalan itu ditimbulkan oleh beberapa pihak baru-baru ini yang mempertikaikan mengapa Sultan Selangor tidak dijemput ke acara tersebut.

“Saya terima penjelasan (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkenaan perkara ini dan saya berterima kasih atas kerja-kerja jawatankuasa berkenaan,” kata beliau.

Abdul Khalid juga menyangkal dakwaan dari bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo yang beliau pernah menjemput Sultan Selangor ke Majlis Sambutan Kemerdekaan.

Katanya tiada sebarang rekod yang menunjukkan Dr Khir pernah menjemput Sultan.

“Buat masa ini tiada sebarang rekod ditemui, mungkin juga sudah terbakar,” jawab beliau secara sinis dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco di sini.

Selain itu, Abdul Khalid berkata tindakan Kerajaan Negeri mengundang Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sebagai penceramah jemputan.

“Tetamu kehormat adalah Menteri Besar, dan Anwar pula hadir sebagai penceramah jemputan.

Sama seperti sebelum ini, kita ada penyanyi jemputan, cuma kali ini kita gantikan dengan penceramah jemputan,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor : Berwaspada Terhadap Ajaran Sesat

BANTING, 8 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran ajaran sesat di Selangor yang dijalankan secara senyap dan terancang.

Justeru, baginda menyeru kepada umat Islam di negeri ini supaya tida terpedaya dengan ajakan dan seruan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi.

“Mereka ini akan sentiasa cuba mempengaruhi umat Islam daripada setiap sudut agar terpesong dan taksub serta mempercayai ajaran atau ideologi yang mereka bawa yang akhirnya boleh menyesatkan umat Islam sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Kampung Sawah, Kuala Langat, di sini semalam.

Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak 133 anak yatim, 97 fakir, 117 miskin dan 130 mualaf.

Baginda dalam pada itu juga menyeru semua pegawai dan ahli jawatankuasa masjid supaya ikhlas dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas masing-masing.

Titah baginda, seluruh kariah juga perlu menerima dan menghormati lantikan ahli jawatankuasa masjid yang telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ini adalah penting bagi mengeratkan hubungan sesama ummah dan Beta tidak berkenan jika ada di kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu yang berpuak-puak dan bersikap pilih kasih terutamanya ketika berada di dalam masjid.

“Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan dan suruhan daripada Allah S.W.T,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

Azmin: Hati-Hati Depani Manipulasi Politik Umno-BN

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan negeri dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutamanya dalam menerima sebarang undangan program daripada kerajaan persekutuan bagi mengelakkan sebarang manipulasi politik demi kepentingan pihak tertentu.

Tegas ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, perkara penting yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri adalah melindungi kakitangan kerajaan supaya tidak dipergunakan dalam sebarang program terutama anjuran Umno-BN.

Dalam ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku, Azmin mendedahkan satu surat yang dihantar kepada kerajaan negeri meminta penghulu dan ketua kampung seluruh negeri Selangor menghadiri satu program anjuran Umno-BN.

Lebih jelas, program tersebut turut mengundang individu yang mempunyai latar belakang dan kepentingan politik iaitu Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor dan Datuk Fuad Hassan.

“Kalau program itu berbentuk latihan atau untuk menggilap potensi penghulu supaya lebih berkesan, kalau mengikut atur cara program itu jelas merupakan program politik. Mengapa kerajaan tidak meneliti perkara ini supaya tidak membenarkan pegawai kerajaan negeri terlibat dalam politik Umno-BN,” katanya.

Azmin turut membidas tindakan Umno-BN yang terus menerus menggunakan agensi kerajaan dan kementerian semata-mata untuk menyebarkan propaganda selain mempergunakan kakitangan kerajaan.

Terbaru, Jabatan Perdana Menteri dengan kepala surat jabatan tersebut telah mengeluarkan satu surat bertajuk ‘Taklimat Pembangunan Dengan Perdana Menteri’ pada 1 Mac 2010 bertempat di Hotel Concorde Shah Alam.

Surat tersebut ditandatangani oleh pengarah ICU sendiri yang menjemput semua pengusaha dan masyarakat perniagaan di negeri Selangor.

“Saya dapat maklumat dalaman yang hadir sekitar 400 orang kehadiran mereka bukan untuk membincangkan soal pembangunan tapi Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir Mohd Zain dan perdana menteri menggunakan pentas itu untuk meminta masyarakat perniagaan menyokong Barisan Nasional jelas daripada backdrop dalam hotel “Sokong Barisan Nasional Negeri Selangor

“Jadi business komunity kecewa mengapa mereka diheret dalam perkara ini,” katanya.