Categories
SELANGOR

Tapak IPD Brickfields : Raja Nong Chik Diminta Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR 16 OGOS: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendesak Kerajaan Pusat mengesahkan status perjanjian tanah bekas tapak Ibupejabat Polis Daerah(IPD) Brickfields, Kuala Lumpur untuk dibangunkan secara komersil.

Katanya, Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin perlu menjelaskan secara terperinci mengenai pemberian tanah tersebut kepada Prima Muda Holdings Sdn Bhd.

“Saya menuntut penjelasan berhubung pertukaran tanah, terma dan kos yang dilakukan syarikat Prima Muda Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan tanah tersebut,” katanya ketika sidang media semasa melakukan lawatan ke bekas tapak IPD Brickfields pagi tadi.

Menurutnya, tanah ini adalah untuk kegunaan institusi dan ia merupakan tanah milik kerajaan.

“Bukankah pindah milik komersil melibatkan tanah kerajaan bertentangan dengan dasar pelan struktur Kuala Lumpur.

“Seharusnya tanah milik kerajaan tidak boleh dibangunkan untuk tujuan komersil tetapi pembangunan infrastruktur yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menuntut supaya Raja Nong Chik menggantikan balai polis yang berusia 30 tahun ini bagi memenuhi keperluan penduduk Brickfields.

“Seharusnya Menteri perlu memikirkan hal rakyat terlebih dahulu berbanding keuntungan dan sebarang kekurangan merupakan pengkhianatan kepada orang awam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.