Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah Bantu Mangsa Kebakaran Seksyen 19

SHAH ALAM 16 OGOS : Keprihatinan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa kebakaran empat buah rumah di Jalan Tajak 19/4 di sini.

Sekurang-kurangnya, nikmat Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dapat diraikan, kata salah seorang mangsa tersebut, Norhafizah Hanapi, 29.

“Pada hari kejadian lagi, sewaktu pihak bomba masih melakukan misi memadam api, YB Rodziah Ismail ada datang melawat kami dan membawa sumbangan.

“Dan hari ini juga kami berbesar hati beliau sudi menjenguk perkembangan kami dengan sedikit sumbangan, menjadikan kami kembali ceria menjelang lebaran beberapa hari lagi,” ujar ibu beranak dua ini.

Petang semalam, Rodziah melawat mangsa-mangsa tersebut dengan membawa sumbangan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Setiap mereka menerima RM 1,000 daripada LZS dan RM 2,500 daripada JKM.

“Sebelum ini YB (Rodziah) ada nyatakan untuk dapatkan bantuan membaiki bumbung RM10,000 bagi setiap rumah daripada Kerajaan Negeri.

“Kami harap beliau dapat usahakan bantuan tersebut demi meringankan beban kami,” ujar Norhafizah penuh harapan.

Kejadian kebakaran berlaku pada 27 Julai lalu berpunca dari kejadian fius terbakar di sebuah rumah sebelum api merebak melalui bumbung rumah ke rumah yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published.