Categories
SELANGOR

Worldwide Serah Zakat Bantu Pelarian Rohingya

SHAH ALAM 3 OGOS :Majlis Ulama Rohingya Malaysia antara sembilan badan amal yang menerima bantuan zakat daripada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings Berhad di sini semalam.

Atas nama kemanusiaan, majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu turut menyaksikan sumbangan RM30, 000 dihulurkan kepada Majlis Ulama Rohingya Malaysia yang diwakili Pengerusinya, Mohd Jaber Mohd Subahan.

“Kami sangat berbesar hati dan terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak di Malaysia terhadap nasib yang menimpa kami di Burma.

“Sememangnya kami mengharapkan bantuan dan sumbangan bagi meringani beban dan tekanan hidup kami di sana,” ujar Jaber.

Disamping itu Jaber memberitahu orang ramai juga boleh mengunjungi www.majlisulamarohingyamalaysia.blogspot.com atau menghubungi talian 03-4022 3444 untuk sebarang maklumat serta bagi menyalurkan bantuan.

Dalam majlis itu Worldwide menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM 145, 850 kepada sembilan penerima dalam satu majlis berbuka puasa.

Antara lain, Worldwide juga memberi sumbangan  RM20, 000 kepada Islamic Relief Malaysia, RM 40, 000 kepada Maahad Dakwah Wa Irsyad Mohd Al Fateh bagi pembinaan pondok asrama serta RM5, 850 kepada Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Miskin Malaysia.

Turut menerima sumbangan ialah Tabung Pendidikan Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia (TAHFIZ), Rumah Ummul Qura, Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bistari dan Persatuan Bekas Polis Malaysia yang masing-masing menerima RM10, 000.

Selain itu, sumbangan RM10, 000 turut diberikan kepada kanak-kanak kurang upaya, Muhammad Irfan Fakri Rosazman, 6, bagi membiayai pembelian kerusi roda elektrik dan mesin jahit bagi menjana pendapatan kedua orang tuanya.

Semua sumbangan disampaikan Pengerusi Worldwide, Datuk Mohamad Arif Ab Rahman yang turut diiringi Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar dan Pengarahnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Leave a Reply

Your email address will not be published.