Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Worldwide Holdings bantu Kerajaan Negeri, pasukan hadapan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memperuntukkan RM400,000 bagi membantu usaha Kerajaan Negeri menangani penularan Covid-19 serta peralatan perlindungan peribadi untuk pasukan hadapan, kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya.

Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu menerusi Worldwide Prihatin menyerahkan sumbangan RM300,000 bagi membantu mereka yang terjejas akibat wabak itu selain RM100,000 ke Tabung Khas Covid-19.

“Inisiatif ini merupakan tanggungjawab sosial korporat bagi menyokong usaha kerajaan mengekang penularan wabak ini dan ia diteruskan bagi membantu pasukan barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sumbangan wang tunai itu diserahkan Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Worldwide Holdings, Rosli Ismail kepada Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari di Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Covid-19 Selangor.

Categories
SELANGOR

YIDE terima 2 mesin hemodialisis sumbangan Worldwide

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerima sumbangan dua mesin hemodialisis daripada WorldWide Holdings Berhad bernilai RM80,000.

Sumbangan disampaikan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Ami Nardin Ishak, baru-baru ini.

Pegawai perhubungan Korporat YIDE, Muhammad Hafiz Bahari berkata, mesin hemodialisis itu bakal ditempatkan di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya, setakat ini, YIDE memiliki 48 mesin hemodialisis di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS bagi menampung 270 pesakit keseluruhannya.

“Enam cawangan itu di Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Taman Melawati.

“Penggunaan mesin hemodialisis secara tiga sesi setiap hari tanpa henti menyebabkan ia mudah rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hamper raya kepada pesakit pesakit dialisis di Pusat Dialisis MAIS cawangan Shah Alam, baru-baru ini.

Pada masa sama, Hafiz berkata, YIDE turut memerlukan mesin air osmosis kerana usia mesin itu sudah melebihi sembilan tahun.

Katanya, keadaan mesin yang uzur juga menyebabkan kerosakan sering berlaku dengan kos baik pulih yang tinggi sehingga mengganggu proses rawatan setiap hari.

“YIDE merakamkan penghargaan terima kasih kepada Worldwide Holdings Berhad kerana cakna mengenai keperluan yang diperlukan di Pusat Dialisis MAIS.

“YIDE juga berharap syarikat syarikat korporat yang lain turut menyalurkan sumbangan kepada YIDE demi kemaslahatan ummah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings perkasa prasarana sekolah KAFA

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Worldwide Holdings Berhad komited memperkasakan prasarana bagi Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) supaya penuntutnya mendapat pendidikan terbaik.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Ami Nardin Ishak berkata, inisiatif itu berjaya mendapat kelulusan pihak pengurusan Worldwide pada peringkat pertama membabitkan kawasan Jeram.

“Sebelum ini, saya sudah melawat tiga sekolah di sini dan ia kelihatan sangat daif kerana mereka tidak mempunyai peruntukan secukupnya.

“Oleh itu, penambahbaikan di sekolah KAFA bakal dilaksanakan kerana mereka berhak mendapatkan prasarana yang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Worldwide Prihatin Bersama Asnaf di Masjid Nurul Hidayah, Jalan Simpang Tiga Jeram, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perkhidmatan Strategik, Ahmad Azman Azizul Rahman dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Alam Sekitar, Zamri Abdul Rahman; Ketua Pegawai Kewangan Worldwide Holdings; Kamal Zaharin Nazir, pegawai kanan Worldwide Holdings serta wakil daripada Lembaga Zakat Selangor.

Ami Nardin berkata, penambahbaikan itu adalah komitmen kepada masyarakat setempat supaya mereka mengenali Worldwide Holdings ekoran terdapat beberapa projek bakal dilaksanakan di Jeram.

“Menerusi perkembangan projek ini, ia juga dapat membuka peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan di sekitar kawasan ini.

“Insyaallah pelbagai bantuan dan program akan diteruskan untuk kita berkongsi dengan masyarakat setempat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Worldwide agih RM320,200 bantu 594 asnaf fakir di Selangor

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Worldwide Holdings Berhad hari ini mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM320,200 kepada 594 asnaf fakir, di seluruh negeri.

Majlis serahan disempurnakan Ketua Pegawai Perkhidmatan Strategik, Ahmad Azman Azizul Rahman dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid, di Masjid Nurul Hidayah, Jeram di sini.

Agihan zakat turut disalurkan kepada 138 asnaf miskin bagi daerah Kuala Selangor.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Worldwide Holdings, Ami Nardin Ishak berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi meringankan beban golongan berkenaan.

“Kami berbesar hati berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan khususnya mualaf kerana kita sentiasa menerima ahli baru untuk bersyahadah.

“Inisiatif ini juga akan diteruskan sepanjang tahun, bukan sahaja pada bulan Ramadan,” katanya
ketika ditemui media pada Majlis Worldwide Prihatin Bersama Asnaf, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Alam Sekitar, Zamri Abdul Rahman; Ketua Pegawai Kewangan Worldwide Holdings; Kamal Zaharin Nazir, pegawai kanan Worldwide Holdings serta wakil daripada LZS.

Pada masa sama, Ami Nardin berharap sumbangan itu dapat membantu asnaf menikmati keperluan harian terutama menjelang Aidilfitri.

Terdahulu, Worldwide Holdings menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,750,353 kepada LZS, pada tahun ini.

Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings bakal terajui ‘Waste-To-Energy’ terbesar di Malaysia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Worldwide Holdings Berhad menerajui projek ‘Waste-To Energy’ (WTE) yang moden dan terbesar di Malaysia apabila loji bernilai RM500 juta itu bakal dibangunkan di pusat pelupusan sampah sedia ada, di Jeram.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, WTE akan menjadi sebahagian daripada Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu atau ‘Integrated Solid Waste Management Center (ISWMC)’ sebagai satu kaedah pengurusan sisa yang holistik untuk rawatan sisa pepejal.

Katanya, ia adalah teknologi pengurusan sisa yang boleh mengubah sisa menjadi tenaga dalam bentuk kuasa elektrik, selain terbukti menggantikan kaedah pelupusan sampah konvensional menggunakan tanah yang luas.

“Janakuasa WTE yang sedang dibangunkan oleh kami boleh menangani semua aspek isu alam sekitar melalui teknik rawatan moden dan berteknologi tinggi dalam mematuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU), malahan teknologi diguna pakai mempunyai rekod prestasi cemerlang menggunakan ciri sisa pepejal yang sama, di Malaysia.

“Sisa pepejal digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan relau bagi menjana stim yang membolehkan turbin menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement) antara Worldwide Holdings Berhad dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd serta Pelancaran Sistem Aplikasi E-World, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Worldwide Holdings Berhad merangkap Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron; Pengarah Urusan dan Naib Presiden China Western Power Engineering and Construction Co Ltd, Wu Bin; Pengarah Eksekutif China Western Power International Pte Ltd, Jiang Shuhong sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Ahli Lembaga Pengarah Worldwide Holdings termasuk beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Norazlina berkata, fasa pertama loji WTE itu dijangka siap bagi operasi komersial menjelang 2022, manakala fasa kedua disasarkan siap menjelang 2024.

Katanya, dengan kapasiti sampah 1,000 tan metrik sehari, fasa pertama kemudahan itu berupaya menghasilkan antara 20-25 MW tenaga hijau, sekali gus cukup menguasai 25,000 isi rumah di sekitar kawasan berkenaan.

“Ia dijangka mengurangkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan, di samping menyokong aspirasi kerajaan bagi meningkatkan penjanaan ‘renewable energy’ hingga 20 peratus menjelang 2025.

“Kami juga mempunyai rancangan membuka kemudahan serupa di beberapa kawasan lain, di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings serah zakat RM2.51 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JUN: Worldwide Holdings Berhad menyerahkan sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM2.51 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM100,000 kepada badan bukan kerajaan dan pertubuhan kebajikan.

Katanya, ia termasuk Islamic Relief Malaysia, Aman Palestin Berhad, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Hidayah Centre Foundation, Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al- Ikhlas, Puchong dan Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang.

“Sebanyak RM127,000 turut diberi kepada asnaf di Sabak Bernam, Jeram, Kuala Selangor dan Kuala Langat sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun khususnya, pada bulan Ramadan serta hari raya.

“Inisiatif ini diwujudkan sebagai tanda keprihatinan syarikat kami mensejahterakan komuniti melalui konsep ‘giving back to community’, kami tidak fokus kepada perniagaan semata-mata tetapi turut menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan komuniti yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan yang turut dihadiri kira-kira 200 kakitangan Worldwide Holdings.

Pada majlis sama, Norazlina turut mengumumkan Worldwide Holdings akan memberi bantuan Aidilfitri kepada hampir 250 kakitangannya.

Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings tawar rumah mewah mampu milik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pemaju hartanah Worldwide Holdings Berhad menawarkan Skim Mudah Milik bagi rumah Cendana di Puncak Bestari 1 dengan hanya RM5,000 deposit diperlukan.

Ketua Projek Worldwide Holdings, Noor Azmi Ali berkata, bakal pembeli rumah itu turut menikmati keistimewaan pakej baru termasuk diskaun bumiputera tujuh peratus dan kos perjanjian jual beli (SPA) serta kos memorandum tukar hak milik (MOT) secara percuma.

Katanya, projek hartanah di Puncak Bestari 1 itu menawarkan konsep rumah mewah mampu milik dengan persekitaran menarik dan lokasi strategik.

“Kawasan pembangunan projek ini membabitkan keluasan 124 ekar dan hingga kini hampir 70 peratus kediaman sudah dimiliki.

“Puncak Bestari 1 adalah lokasi strategik dan berpotensi dengan kemudahan akses utama termasuk berdekatan pasar raya utama, pusat pengajian tinggi dan pusat rekreasi,” katanya.

Noor Azmi berkata, projek terbabit menawarkan empat kategori kediaman dan mempunyai ciri rekaan eksklusif serta moden.

cendana 2Katanya, keempat kategori rumah itu ialah Cendana (teres dua tingkat), Cengal (rumah berkembar dua tingkat), Belian (banglo dua tingkat) dan Jati (lot komersial) yang siap sepenuhnya berserta Sijil Layak Menduduki (CCC).

“Sebanyak 208 unit rumah Cendana berkeluasan antara 2,290 hingga 2,338 kaki persegi dengan empat bilik dan empat bilik air.

“Manakala Cengal sebanyak 48 unit kediaman dengan keluasan 2,345 kaki persegi; unit Belian 40 unit kediaman berkeluasan 2,545 kaki persegi dan unit Jati sebanyak 34 unit kediaman,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang dalam proses membangunkan fasa pertama bagi projek perumahan Puncak Bestari 2.

“Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat awal berkaitan prospek pemilikan hartanah di Puncak Bestari 2,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Worldwide Holdings sumbang RM50,000 perkaya sumber bacaan PPAS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JAN : RM50,000 disumbangkan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) kepada Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) sebagai inisiatif memperkaya sumber bacaan di perpustakaan ini.

Ketua Bahagian Komunikasi Worldwide, Ami Nardin Ishak berkata, komitmen tersebut dilaksana sebagai tanggungjawab sosial pihaknya membantu memperkukuhkan agenda pembangunan pendidikan negeri.

Worlwide PPAS (4)“Ini sebahagian daripada tangungjawab sosial dirangka sepanjang tahun ini dengan berpandukan kepada empat teras utama iaitu sukan, alam sekitar, pendidikan dan sosial.

“Sumbangan ini merupakan program tahunan bagi tujuan perpustakaan menambah jumlah buku dan sumber bacaan lain.

“Kerjasama ini diharapkan berterusan sehingga Worldwide mampu untuk terus membantu meningkatkan frasarana PPAS bagi masa akan datang,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan diadakan di Dewan Utama PPAS semalam turut dihadiri Pengarah PPAS, Matura Muhamad, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor, Norajun Ainon.

Worlwide PPAS (1)Pemeteraian penyerahan sumbangan tersebut menyaksikan Worldwide Holding sebagai syarikat milik Kerajaan Negeri pertama membuka lembaran 2017 dengan melaksanakan inisiatif CSR (tanggungjawab sosial) membabitkan prospek pendidikan negeri.

Sementara itu, Mastura Muhamad berkata, penyerahan sumbangan tersebut dimanfaatkan bagi tujuan penambahan sumber dan keperluan bahan bacaan di PPAS yang bermanfaat untuk rujukan masyarakat.

“Kami menghargai bantuan ini dan berharap ia akan menjadi manfaat yang baik kepada masyarakat dan seluruh pengunjung yang datang,” katanya.

-nR-

Kota Puteri bakal setara Kota Damansara

PKNS yakin kemajuan di Kota Puteri mampu saingi Kota Damasara

Categories
SELANGOR

PKNS yakin Kota Puteri mampu saingi Kota Damasara

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad menjalin kerjasama memajukan bandar baru yang kini rancak membangun Kota Puteri.

Berkeluasan 2,000 ekar di lokasi strategik, Kota Puteri bakal menjadi mercu tanda di kawasan ‘Greater’ Sungai Buloh apabila PKNS memeterai perjanjian jual beli tanah bersama Worldwide.

Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata jual beli tanah kepada Worldwide bernilai RM139 juta itu membabitkan 213.5 ekar.

pkns 1“Kawasan ini akan dimajukan pembangunan bercampur yang mensasarkan kepada kumpulan berpendapatan tinggi dan pertengahan.

“Kami percaya dengan adanya pemaju berpengalaman seperti Worldwide, ia akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian jual beli hartanah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Azlan juga yakin melalui langkah itu ia akan melengkapi pembangunan di sini untuk menjadi sebuah bandar membangun seperti bandar lain yang diwujudkan PKNS.

“Dalam lima tahun, kita berharap langkah strategik ini dapat menjadikan Kota Puteri seperti pembangunan di Kota Damansara,” katanya.

Sementara itu, Norazlina berkata, pembangunan bercampur itu akan berkonsep ‘modern and majestic’ dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.PKNS WORLDWIDE

Katanya, pembinaan dengan nama Puteri Bestari dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Kota Puteri mempunyai prospek pelaburan berdaya maju ditambah dengan pelbagai prasarana lengkap seperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR).

-nR-

Categories
SELANGOR

Worldwide Holdings diiktiraf pemaju & penyedia khidmat urus alam terulung

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 19 MEI: Worldwide Holdings Berhad kini diiktiraf sebagai pemaju hartanah dan penyedia perkhidmatan pengurusan alam sekitar terulung negara dengan memperolehi pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Worldwide Holdings Berhad, Datuk Noordin Sulaiman berkata, pengiktirafan kecemerlangan dicapai antaranya ‘The Brand Laureate Best Brands Corporate Branding in Real Estate Property’ pada 2014 dan 2015.

IMG_1087a“Worldwide Holdings juga di nobat sebagai ‘Best Employer of Choice 2014’ daripada Malaysian Institute of Human Resource Management.

“Kumpulan ini juga dianugerahkan Sijil Green Building Index (GBI) untuk Menara Worldwide yang terletak di Tiga Segi Emas, Kuala Lumpur,” katanya sewaktu majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke 25 tahun Worldwide Holdings.

Worldwide juga dianugerahkan status MSC Malaysia Cybercentre pada Jun 2014 oleh Kerajaan Malaysia kerana menyediakan ekosistem bagi menarik pelabur ICT.

Noordin berkata, sepanjang 25 tahun penubuhan Worldwide Malaysia Berhad menawarkan pelbagai perkhidmatan pengurusan alam sekitar.

“Antaranya tapak pelupusan sisa pepejal, stesen pembinaan sisa buangan, pengurusan gas tapak buangan, mekanisme pembangunan (CDM) serta perkhidmatan perundingan,” katanya.

Disamping meraikan pencapaian dan penghargaan terhadap warga kerja, acara kemuncak pada Majlis Makan Malam itu ialah pelancaran sebuah Buku Coffee Table oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

EZY

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Seru Kerajaan Negeri Naiktaraf Perpustakaan

sultan lawat perpustakaan 18 jul 03

SHAH ALAM 18 JULAI : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Kerajaan Negeri supaya menaiktaraf perpustakaan di setiap daerah termasuk perpustakaan Raja Tun Uda yang dilawatinya hari ini.

Baginta bertitah perpustakaan adalah sebuah tempat gedung ilmu, malah perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat riadah di mana ibu bapa dan keluarga boleh datang bersama-sama untuk membaca buku dan membuat rujukan.

“Oleh itu, ia hendaklah dilakukan dan janganlah dilupakan begitu sahaja kerana seperti yang kita ketahui banyak aktiviti-aktiviti lain dalam penimbaan ilmu boleh dijalankan di perpustakaan.

sultan lawat perpustakaan 18 jul 01“Beta juga difahamkan pembinaan untuk meletak kenderaan juga perlu dibina dengan segera kerana keadaan yang sesak apabila pengunjung-pengunjung datang ke perpustakaan Raja Tun Uda ini.

“Beta juga berkenan supaya landskap yang sedia ada disekeliling perpustakaan ini dinaik taraf dan ditambah dengan pokok-pokok hijau supaya menjadikan kawasan ini indah selain mendatangkan suasana bersih dan menyihatkan.”

Baginda bertitah pada Majlis Penyampaian sumbangan buku kepada perpustakaan itu, di Seksyen 13, di sini.

Baginda juga menyeru kepada setiap rakyat Selangor supaya bersama-sama menjaga dan memelihara perpustakaan termasuk buku-buku yang terdapat di dalamnya supaya menjadi mercu tanda gedung ilmu.

Selain itu, DYMM Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan buku daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 200,000 kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Sumbangan buku-buku yang berjumlah 2,780 naskah itu menggunakan peruntukkan fisabilillah dan merangkumi pelbagai jenis termasuk agama Islam, kesenian dan fiksyen.

Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berupa empat naskah Al-Quran braille kepada penerima terpilih bagi Persatuan Braille Malaysia.

sultan lawat perpustakaan 18 jul 04Selain dari LZS, turut menyerahkan sumbangan kepada perpustakaan itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberikan sumbangan sebanyak 50 buah netbook.

Manakala Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan sumbangan buku yang bernilai RM 50,000 serta Yayasan Al Bukhary pula menyumbangkan sebanyak RM 13,000.

Mengiringi baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ; Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohs Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.