Categories
NASIONAL

Beri Peluang Jawatankuasa Sambutan Merdeka Perjelas Isu Sultan


SHAH ALAM 4 SEPT : Peluang harus diberikan kepada Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan berkenaan jemputan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke majlis berkenaan.

Sultan Selangor dikatakan tidak menerima undangan bagi menghadiri Majlis Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam pada 30 Ogos lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan berlansung pada hari esok.

“Sebelum kita memutuskan apa-apa, mereka (jawatankuasa) perlu diberi ruang bagi menjelaskan isu ini.

“Saya percaya jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi mempunyai penjelasan kukuh berkenaan isu tersebut,” jelas beliau dalam satu Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri di sini petang tadi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Ijok turut membangkitkan mengapa perkara itu dijadikan isu sedangkan perkara tersebut bukan sesuatu yang baru.

“Empat tahun sebelum ini juga kita ada menganjurkan majlis sebegini namun tidak menjadi persoalan, jadi mengapa dibangkitkan hari ini.

“Memang kebiasaannya semua program akan dibuat persiapan awal sekurang-kurangnya sebulan sebelum program berkenaan termasuklah persiapan dari segi protokol dan sebagainya,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.