Categories
NASIONAL

Ambilalih KTMB: Cubaan Najib Untuk Adakan Monopoli

PETALING JAYA, 4 SEPT: Perdana Menteri sekali lagi memungkiri janji untuk mengendalikan tender-tender kerajaan dengan telus, adil dan terbuka apabila ia bakal menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC Corporation Berhad (MMC).

PKR berkata syarikat yang akan mengambilalih KTMB itu sepatutnya dipilih melalui proses tender terbuka dan bukan hanya menyerahkannya kepada syarikat yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli mendakwa usaha itu dilihat cubaan mewujudkan monopoli pengangkutan keretapi yang dijangka akan menjadi antara pengangkutan alternatif utama di masa hadapan.

“Konsortium beliau juga telah dianugerahkan tender pembinaan MRT yang kosnya dijangka melampui RM100 bilion.

“Dengan penganugerahan penswastaan KTMB pula, bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Syed Mokhtar akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan alternatif terpenting kepada sistem pengangkutan awam darat di masa hadapan.

“Ini bermakna, sebarang usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli ini,” kata Rafizi di dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Rafizi mendakwa pentadbiran Najib ketika ini sedang meneliti pelan operasi dan pengambilalihan yang dikemukan oleh MMC pada awal tahun ini.

Tindakan tersebut juga dianggap sebagai usaha untuk memusatkan operasi dan kontrak melibatkan infrastruktur dan harta utama negara kepada beberapa pihak yang dikenali sebagai kroni kepada Najib.

“Kini pun, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menguasai operasi dan aset-aset pelabuhan di negara ini,” kata Rafizi.

Menurut Rafizi sekiranya pengambilalihan itu hanya melibatkan peningkatan kecekapan operasi dan kos, dan tidak menangung hutang KTMB yang benilai RM1 bilion, adalah lebih wajar ia dibuat melalui tender terbuka.

Rafizi turut mengingatkan agar Najib dapat memastikan bahawa aset dan pegangan tanah KTMB bernilai RM 50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau individu.

Selain Rafizi, turut sama dalam sidang media parti itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Mohd Nor Manuty.

Leave a Reply

Your email address will not be published.