Categories
NASIONAL SELANGOR

Debat Isu Talam: Tee Yong Mencari “Publisiti Murahan”


CHERAS, 9 SEPT: Pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong didakwa mencari publisiti murahan dengan mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berdebat mengenai kutipan hutang Talam Corporation.

Abdul Khalid berkata, Tee Yong sengaja mensensasikan isu ini walaupun sebuah syarikat audit bebas telah membuktikan proses kutipan Talam adalah satu usaha komersial yang baik.

“Chua Soi Lek dan anaknya Chua Tee Yong ini mahu bincang sama saya, sudah tidak ada guna.

?Dahulu tidak buat kerja, sekarang baru mahu tunjuk,” kata Abdul Khalid ketika memberi ucapan di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Bandar Tun Razak di Flat Sri Labuan hari ini.

Pada 5 Sept, laporan syarikat audit bebas antarabangsa KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati pengutipan hutang Talam bukan satu tindakan ?bailout?.

Ini kerana kerajaan negeri tidak menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan sebuah syarikat daripada runtuh, tetapi telah mengutip hutang Talam terhadap anak syarikat Kerajaan NEgeri.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sudah melantik empat orang jurucakap berkenaan isu Talam.

Mereka adalah Dr Dzulkefly Ahmad (MP Kuala Selangor), William Leong (MP Selayang PKR), Tony Phua (MP Petaling Jaya Utara) dan Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.

Malah, Dr Dzulkefly dan Tony Phua sendiri mengajak Tee Yong, yang juga MP Labis, untuk berdebat di depan pengundinya sendiri di Labis namun beliau mendiamkan diri sehingga kini.

Abdul Khalid turut menyarankan Tee Yong supaya membentangkan laporan audit dan kertas putih melibatkan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada umum terlebih dahulu bagi membuktikan ketelusan Kerajaan Pusat.

“Hutang NFC berjumlah RM250 juta, pergi tangkap dan selesaikan isu itu dahulu baru boleh pertikaikan pengutipan hutang Talam,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.