Categories
SELANGOR

Hutang Talam Mesti Dikutip Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 20 NOV : Proses pengutipan hutang RM 392 juta daripada syarikat Talam Corporation harus dijalankan kerana ia boleh memberikan impak buruk kepada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) sekiranya tidak dikutip.

Ini kerana, Talam, yang berhutang dengan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), menghadapi masalah kewangan yang serius.

Talam telah dikategorikan sebagai syarikat berstatus PN17 di antara September 2006 dan Jun 2010 kerana kegagalannya membuat bayaran bagi pinjaman dan bon.

Menurut laporan kertas putih tentang penstrukturan semula hutang Talam, proses tersebut bukan satu ?bailout? di mana wang awam dipakai untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang sakit.

Ini kerana tiada sebarang bayaran sama ada dalam bentuk tunai atau barangan, diberikan kepada Talam untuk mengutip hutang tersebut.

Kerajaan Selangor hanya membelanjakan RM 420,000 sahaja dalam bentuk yuran perundangan dan faedah yang dikenakan oleh pihak bank.

Ia jumlah yang kecil berbanding dengan jumlah kutipan hutang sebanyak RM 392 juta daripada syarikat Talam.

Laporan tersebut juga menyenaraikan penilaian yang dibuat terhadap tiga bidang tanah Talam yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Tanah tersebut di Bukit Beruntung, Bestari Jaya dan Danau Putra.

Bagi tanah Bukit Beruntung, penilaian oleh Sulaiman & Co menetapkan nilai tanah itu pada RM 375 juta manakala penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Jabatan Penilaian) menetapkan nilai tanah pada RM 113 juta.

“Perbezaan itu kerana Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai ‘pertanian’ manakala nilaian Suleiman & Co mengambil kira kategori kegunaaan tanah terbabit sebagai ‘pembangunan bercampur’,” kata laporan itu.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar tanah Bukit Beruntung itu,” katanya.

Bagi tanah di Bestari Jaya, pula Mitra Valuers pada November 2009 telah menetapkan nilai RM 88,000 seekar kerana muka bumi yang tidak rata dan memerlukan penimbusan tanah kerana sebahagiannya adalah tasik bekas lombong.

Bagi tanah Danau Putra, Jabatan Penilaian pada Julai 2012 menetapkan nilai tanah tersebut pada RM 17.66 kaki persegi (skp).

Jelas laporan itu, Kerajaan Negeri menyediakan pampasan tambahan kepada GLC sebagai balasan pelunasan hutang Talam walaupun hutang itu sudah dipindahkan kepada kerajaan.

Laporan itu juga menyebut, Unisel diberi pampasan berjumlah RM248.7 juta, KHSB, RM 115 juta dan bagi PNSB, satu geran yang bernilai RM 28 juta.

Lampiran:
Kertas Putih Talam (BM)
Kertas Putih Talam (Eng)
Kenyataan KPMG

Categories
NASIONAL SELANGOR

Debat Isu Talam: Tee Yong Mencari “Publisiti Murahan”


CHERAS, 9 SEPT: Pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong didakwa mencari publisiti murahan dengan mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berdebat mengenai kutipan hutang Talam Corporation.

Abdul Khalid berkata, Tee Yong sengaja mensensasikan isu ini walaupun sebuah syarikat audit bebas telah membuktikan proses kutipan Talam adalah satu usaha komersial yang baik.

“Chua Soi Lek dan anaknya Chua Tee Yong ini mahu bincang sama saya, sudah tidak ada guna.

?Dahulu tidak buat kerja, sekarang baru mahu tunjuk,” kata Abdul Khalid ketika memberi ucapan di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Bandar Tun Razak di Flat Sri Labuan hari ini.

Pada 5 Sept, laporan syarikat audit bebas antarabangsa KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati pengutipan hutang Talam bukan satu tindakan ?bailout?.

Ini kerana kerajaan negeri tidak menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan sebuah syarikat daripada runtuh, tetapi telah mengutip hutang Talam terhadap anak syarikat Kerajaan NEgeri.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sudah melantik empat orang jurucakap berkenaan isu Talam.

Mereka adalah Dr Dzulkefly Ahmad (MP Kuala Selangor), William Leong (MP Selayang PKR), Tony Phua (MP Petaling Jaya Utara) dan Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.

Malah, Dr Dzulkefly dan Tony Phua sendiri mengajak Tee Yong, yang juga MP Labis, untuk berdebat di depan pengundinya sendiri di Labis namun beliau mendiamkan diri sehingga kini.

Abdul Khalid turut menyarankan Tee Yong supaya membentangkan laporan audit dan kertas putih melibatkan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada umum terlebih dahulu bagi membuktikan ketelusan Kerajaan Pusat.

“Hutang NFC berjumlah RM250 juta, pergi tangkap dan selesaikan isu itu dahulu baru boleh pertikaikan pengutipan hutang Talam,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Bekalan Air Terawat Cukup, Tidak Payah Catuan

SHAH ALAM, 8 OGOS : Kerajaan Selangor membantah sebarang bentuk cadangan catuan air di negeri ini kerana kapasiti air terawat sedia ada mencukupi bagi menampung kegunaan di Lembah Klang.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) Nor Azmi Diron berkata, surat bantahan telah dikemukakan kepada semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Katanya, Kerajaan Selangor juga sedang menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Balakong, Cheras dan Sri kembangan.

“Ada antara mereka yang tidak mendapat bekalan air sehingga 11 hari. Kita amat bersimpati dengan kadaan itu.

?Kita mengambil langkah segera dengan menghantar tanker melalui Pihak Berkuasa tempatan berhampiran selain Syabas,” katanya dalam sesi Taklimat Isu Air dan Hutang Talam Corporation.

Pada sesi taklimat tersebut Azmi menjelaskan, pihaknya membuat beberapa perubahan di dalam sistem agihan supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada kwasan-kawasan tersebut.

“Bila kita semak pelan agihan, ada ruang untuk kita bawa lebih banyak air dari Sungai Labu dengan diskong oleh Sungai Semenyih bagi kawasan Cheras.

?Sebab itu 2-3 hari ini masalah di Cheras dapat kita selesaikan,” katanya.

Sebelum ini, Syabas mendesak Kerajaan Pusat supaya mengadakan catuan air di Selangor kerana mendakwa tidak cukup bekalan air terawat.

Bagaimanapun tindakan ini dibantah oleh Kerajaan Selangor yang mendakwa Syabas tidak agihkan bekalan dengan cermat.

ends